MENDENGAR lantunan suara penyanyi Misha Omar ibarat menyelami sebuah naskhah sarat emosi, dengan setiap lenggok nada membawa kisah tersendiri, merentasi lorong cinta, kehilangan, kerinduan dan harapan.
Ketika industri muzik tempatan terus bergerak mengikut arus perubahan, penyanyi berusia 44 tahun itu teguh mempertahankan estetika balada premium yang meletakkan namanya dalam kelas tersendiri.
Menyambut kerinduan peminat terhadap persembahan pentasnya, pemilik nama sebenar Samihah @ Aisha Omar itu bakal tampil menerusi showcase eksklusif, Aku & Lelaki pada 24 Oktober ini di JioSpace, Petaling Jaya.
Istimewanya, persembahan berkenaan turut menjadi sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam industri muzik, selain membuka ruang buat Misha meneroka karya daripada perspektif berbeza.
Lebih menarik, Misha akan menyelami karya-karya popular penyanyi lelaki dari Malaysia, Indonesia dan persada antarabangsa, lalu memberikan sentuhan tersendiri menerusi interpretasi vokalnya.
Saya enggan peminat mendengar perkara sama setiap kali kita bertemu. Aku & Lelaki menjadi ruang dan peluang buat saya meneroka lagu-lagu penyanyi lelaki yang saya kagumi serta banyak memberikan inspirasi sepanjang perjalanan muzik saya.
“Bagaimanapun, saya tetap membawa identiti sebagai penyanyi wanita. Saya mahu peminat menikmati sesuatu yang baharu dan berharap mereka pulang dengan kenangan istimewa selepas menyaksikan persembahan ini,” katanya kepada HibGlam.
Jelasnya, dia melihat hubungan antara lelaki dan wanita sebagai sesuatu yang saling melengkapi, termasuk dalam membentuk kekuatan seseorang untuk terus melangkah dalam kehidupan dan kerjaya.
“Dalam industri muzik, saya percaya perjalanan seorang wanita turut mendapat sokongan lelaki hebat di sekelilingnya. Saya misalnya, sokongan itu datang daripada suami dan arwah bapa.
Saya sebenarnya mengagumi ramai penyanyi lelaki malah pernah diberikan peluang penyanyi hebat seperti Datuk M. Nasir dan Datuk Jamal Abdillah untuk muncul sebagai artis undangan dalam konsert mereka selain pernah berkongsi minat terhadap muzik dengan Anuar Zain.
“Dari Indonesia pula, Afgan antara penyanyi yang banyak memberikan inspirasi kepada saya. Pengalaman dan pengaruh daripada penyanyi-penyanyi ini membantu membentuk perjalanan muzik saya sehingga menjadi Misha Omar hari ini,” ujarnya.
Ralat
Di sebalik keterujaan menantikan showcase berkenaan, Misha bagaimanapun terpaksa menelan kekecewaan apabila konsert berskala besar sempena ulang tahun ke-25 perjalanan seninya, dirancang berlangsung tahun depan, terpaksa ditangguhkan.
“Sebenarnya, tahun depan merupakan detik keemasan buat saya kerana meraikan 25 tahun dalam industri. Saya memang suka mengadakan konsert menjelang hujung tahun dan impian saya adalah untuk membuat persembahan di stadium.
“Apabila perancangan itu tidak menjadi kenyataan, barulah saya boleh berkongsi perkara ini. Melihat kepada pelbagai agenda besar pada tahun depan, termasuk Sukan SEA dan acara lain, saya sedar ada perkara lebih besar bakal berlangsung.
Saya melihat diri ini kecil sahaja dan apa yang saya mahu sebenarnya adalah bergembira bersama peminat. Jadi, saya memilih untuk bertenang dan menangguhkan perancangan itu. Ya, tiada konsert ulang tahun tahun depan,” jelasnya.

MESKI terkilan konsert berskala besar yang sepatutnya berlangsung tahun depan sempena genap 25 tahun keberadaanya dalam industri seni ditangguh, Misha berlapang dada dan yakin ada sesuatu yang manis sedang menanti. – M. FIRDAUS M. JOHARI
Misha sudah berkongsi perancangan konsert berkenaan menerusi media sosial sebelum ini dan menyedari keputusan tersebut mungkin mengecewakan peminat yang menantikan persembahan berskala besar daripadanya.
Bagaimanapun, anak jati Machang, Kelantan itu berharap peminat dapat bersabar dan memberikan ruang untuknya menyusun semula perancangan berkenaan, selain menjadikan Aku & Lelaki sebagai medan melepaskan rindu terhadap persembahan secara langsung.
“Sebelum ini, saya sudah memaklumkan kepada rakan-rakan di media sosial bahawa tahun depan akan ada konsert. Namun, insya-Allah kita tunggu setahun lagi. Kalau panjang umur, kita boleh meraikannya pada tahun berikutnya.
Dalam masa sama, saya bersyukur kerana masih berpeluang bertemu peminat menerusi showcase Aku & Lelaki. Sekurang-kurangnya, kerinduan mereka terhadap persembahan saya terubat,” tambahnya.
Menurut Misha, perancangan awal untuk konsert ulang tahun itu sebenarnya sudah bermula, termasuk mendapatkan pandangan daripada pemuzik di Indonesia seperti Tohpati dan Melly Goeslaw, memandangkan dia pernah bekerjasama dengan mereka sebelum ini.
“Saya ke Indonesia baru-baru ini untuk bertanya beberapa perkara kerana pernah bekerja dengan Tohpati dan Melly Goeslaw. Saya kerap ke sana untuk mendengar susunan muzik mereka.
Saya juga bertanya kepada Tohpati mengenai senario dan perancangan konsert berkenaan. Sebenarnya, sudah banyak perkara saya bincangkan dan tanyakan sejak awal,” katanya.
Walaupun terpaksa menangguhkan impian tersebut, Misha enggan rasa kecewa dan terkilan menghalang langkahnya untuk terus berkarya.
“Saya perlu terus bekerja keras untuk memastikan keberadaan saya dalam industri ini dapat dipertahankan. Tiada apa-apa yang mudah dan saya perlu sentiasa berusaha untuk terus bertahan.
Memang sedih bila tahu tiada konsert tahun depan kerana terlalu banyak agenda berlangsung. Kalau boleh, saya mahu semuanya berjalan dengan tenang tanpa perkara besar berlaku sekitar tempoh itu tapi tidak mengapa, saya boleh menunggu sebentar,” tuturnya tenang.
Album baharu?
Selain konsert, persoalan mengenai kemungkinan menghasilkan album baharu sempena ulang tahun ke-25 turut menjadi antara perkara menarik dalam perbualan bersama Juara Anugerah Juara Lagu ke-18 (AJL18) itu.
Menyedari peminat sentiasa menantikan buah tangan terbaharu, dia tidak menolak kemungkinan berkenaan, namun mengakui penghasilan album memerlukan semangat, perancangan dan kesepakatan kukuh antara dirinya dengan pihak label, Sony Music.
“Untuk menghasilkan album, saya memerlukan semangat yang lebih kuat. Saya memang mengagumi penyanyi yang masih mengeluarkan album, tidak kiralah mini album atau album penuh.
Setakat ini, saya belum bertemu pihak Sony untuk membincangkan perkara tersebut secara khusus. Bagaimanapun, apabila pemuzik bertemu penyanyi, biasanya banyak idea boleh dicetuskan.
“Kita boleh mengemukakan pelbagai idea, tetapi pelaksanaannya tetap memerlukan perbincangan antara saya dengan pihak label. Buat masa ini, saya agak sibuk dengan perancangan showcase,” kongsinya.
Ditanya adakah masih relevan seseorang artis mengeluarkan diskografi, Misha berpendapat penghasilan album mempunyai nilai sentimental tersendiri khususnya mereka yang memulakan kerjaya ketika album fizikal masih menjadi medium utama memperkenalkan karya.
“Bagi saya, seseorang penyanyi akan berasa puas apabila dapat menghasilkan album. Saya juga begitu kerana berasal daripada zaman album, bukannya zaman single seperti sekarang.
“Saya tidak pasti bagaimana pengalaman artis baharu hari ini, tetapi bagi generasi saya, apabila mula menjadi artis kita memang akan menghasilkan album yang mengandungi kira-kira 10 hingga 12 lagu.
Album memberikan kepuasan dalam berkarya. Kita dapat melihat keseluruhan hasil usaha, perjalanan dan identiti muzik dalam sebuah naskhah,” tutupnya. – HIBGLAM

