‘Wanita perlu sayang, yakin dengan diri sendiri’

PELAKON dan penyanyi, Bella Astillah mengingatkan wanita agar tidak hilang keyakinan diri hanya kerana mengalami sebarang masalah kulit wajah.

Menurut Bella atau nama lengkapnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, masalah kulit merupakan perkara normal dalam kalangan wanita dan turut dialaminya.

“Saya pun sama seperti orang di luar sana, pernah mengalami masalah ‘breakout’. Macam saya, jenis aktif bersukan, memang akan nampak sedikit cela pada kulit sebab tidak mengenakan solekan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita manusia biasa, itu perkara normal. Namun nasihat saya, wanita perlu berasa yakin dengan diri sendiri. Kita cantik untuk diri sendiri.

“Perlu sayang diri sendiri terlebih dahulu. Apabila sudah mula sayang diri, pasti akan timbul keinginan untuk memulakan rutin penjagaan kulit,” katanya pada majlis pengumumannya sebagai duta jenama penjagaan kulit dari Korea, Skin 1004 hari ini.

Tambah isteri kepada Ahli Parlimen Muar, Syaed Saddiq itu, penjagaan kulit bukan hanya dilakukan selepas wajah mula mengalami masalah sebaliknya lebih awal.

“Kawan-kawan saya pernah cakap, kebanyakan daripada kita hanya akan mula mencari produk penjagaan kulit apabila wajah sudah tidak berada dalam keadaan baik.

“Saya juga dahulu pernah berasa yakin kulit tidak akan naik jerawat tetapi apabila semakin berusia, macam-macam masalah muncul pada wajah.

“Jadi, mulakan dari sekarang. Bukan kerana saya duta produk tetapi menjaga kulit memang sangat penting terutama penggunaan pelindung matahari,” katanya lagi.

Berkongsi kegembiraan apabila dilantik sebagai duta Skin 1004, dia mengakui teruja apatah lagi sudah lama menggunakan produk jenama tersebut.

“Jenama ini sebenarnya sudah lama saya gunakan. Jadi, apabila dilamar oleh pasukan dari Korea sendiri, saya anggap ini sebagai rezeki selepas berumah tangga.

“Pada awalnya, mereka mahu membawa saya ke Korea untuk menjalani penggambaran kempen produk berkenaan. Namun, disebabkan kekangan masa, pihak mereka mengambil keputusan untuk terbang ke Malaysia,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok