SEJAK zaman belajar, saya sudah menabung supaya boleh pergi uji bakat berlakon.”
Demikian perkongsian pelakon Nad Zainal yang mengakui perjalanan awalnya dalam industri seni bukanlah mudah apabila pernah berdepan kesempitan wang sehingga terpaksa bekerja sebagai penulis skrip demi meneruskan kelangsungan hidup.
Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 36, berkata, pengalaman itu dilaluinya selepas menamatkan pengajian apabila berdepan kesukaran mendapatkan peluang berlakon.
“Walaupun pensyarah saya membantah dan tidak membenarkan saya berlakon ketika belajar, saya tetap langgar peraturan. Apa pun yang berlaku, saya tetap mahu berlakon.
“Selepas tamat belajar, saya berdepan sedikit kesukaran untuk mendapatkan peluang lakonan. Jadi, saya mengambil keputusan berehat seketika daripada berlakon dan bekerja sebagai penulis skrip di MIG.
“Saya pernah bertanya bila boleh mendapat tawaran berlakon kerana tidak mahu sekadar menghadiri acara, tetapi jawapan yang diterima hanya meminta saya menunggu.
Akhirnya, saya berterus-terang bahawa saya tiada duit dan bertanya sama ada boleh bekerja sebagai penulis skrip. Mereka bersetuju,” katanya kepada HibGlam pada Program Pesona Sinema sempena Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35).
Program berkenaan dianjurkan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebagai rakan strategik serta Sit Connect Asia.
Bercerita lanjut mengenai perjalanan kerjaya seninya, Nad berkata, dia memulakan langkah sebagai pelakon menerusi watak ringan dalam genre komedi dan komedi romantik sebelum bakatnya mula diberikan perhatian menerusi naskhah berat.
“Selepas membintangi beberapa drama, saya mula melihat bagaimana pihak penerbit mengenal pasti kekuatan saya sebagai pelakon.
Apabila mula diberikan watak dalam drama berat, tawaran untuk membawa karakter sebegitu seolah-olah tidak pernah putus.
“Sehingga hari ini, saya sering dikaitkan dengan drama air mata dan kisah kehidupan masyarakat kampung. Pelakon seperti saya, Nabila Huda dan beberapa rakan lain juga sering diberikan kepercayaan untuk membawakan watak sedemikian,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Nad tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Denupada FFM35 yang dijadual berlangsung pada 21 November ini di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. – HIBGLAM

