BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mendominasi Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-25 (AIM25) dengan 14 pencalonan berharap trend irama Malaysia yang kembali diraikan oleh pemuzik tempatan bukan sekadar bermusim.
Siti berkata, beliau berbangga apabila semakin ramai pemuzik terutama yang muda bersemangat mempromosikan irama tradisional dengan melahirkan banyak karya sedemikian sejak akhir-akhir ini.
“Saya memang rasa macam dialu-alukan sangat dengan semangat untuk Gema Bumantara ini sebab selepas saya keluarkan album Gema Bumantara, saya dapat tengok semangat untuk generasi yang muda.
“Ada yang keluarkan lagu berirama tradisional. Dan kebetulan acara-acara sebelum ini semuanya (banyak) bertemakan tradisional. Kan?
“Jadi, saya memang rasa gembira dan yang paling penting saya tak nak dia (benda ini) bermusim. Saya nak sampai bila-bila,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada acara karpet merah AIM25 hari ini.
Penyanyi berusia 47 tahun itu menyifatkan karya berteraskan irama tradisional dihasilkan bukan semata-mata untuk dirinya, sebaliknya sebagai usaha memperjuangkan genre berkenaan untuk terus mendapat tempat dalam industri.
“Sampai ke peringkat akhir sudah menjadi satu kebanggaan untuk saya sebab saya memperjuangkan irama tradisional ini bukan untuk diri sendiri tetapi buat industri dan juga generasi akan datang.
“Apa sahaja keputusan saya terima dengan hati terbuka kerana menghasilkan karya tradisional itu sudah dianggap sebagai satu kemenangan untuk saya.
“Selebihnya, saya serahkan kepada juri profesional mengikut kepakaran dan pendapat mereka. Walau macam mana pun, Gema Bumantara ini sudah sesuatu untuk saya dan kemenangan besar untuk saya,” katanya.
Mengulas ramalan pelbagai pihak yang mengatakan dirinya bakal membolot trofi utama pada malam ini, Siti berkata, ia sama sekali tidak akan mengubah pendiriannya untuk menerima keputusan dengan hati terbuka.
“Ramalan tetap ramalan, tetapi saya terima dengan hati terbuka. Menembusi pencalonan untuk banyak kategori pun sudah satu kemenangan untuk diri saya dan album Gema Bumantara sendiri,” katanya lagi.
Siti menjadi penyanyi dengan jumlah pencalonan tertinggi bagi edisi kali ini, sekali gus memperlihatkan kekuatan karya dan pengaruhnya dalam pelbagai cabang muzik.
Antara pencalonan utama Siti ialah kategori Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Kesuma.
Siti turut bersaing dalam kategori Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Luar Negara Terbaik menerusi tiga karya iaitu Cenderamaya, Kumbang Bunga dan Jenjang Cinta.
Dalam kategori Lagu Tradisional Terbaik pula, Siti dicalonkan menerusi Kesuma, Rencong; Hujung Bumi dan Pesanan Buat Diri.
Album Gema Bumantara turut membawa nama Siti ke pencalonan kategori Album Terbaik selain Rakaman Album Terbaik.
Lagu Pesanan Buat Diri pula melayakkan Siti bersaing dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Negara, selain turut dicalonkan dalam kategori Rakaman Lagu Terbaik bersama Kesuma.
Siti turut menerima pencalonan dalam kategori Lagu Perayaan Terbaik menerusi Raya Nak Ke Mana?
Malam kemuncak AIM 25 disiarkan secara langsung menerusi TVS dari BCCK, bermula pukul 9 malam ini.
Penganjuran edisi ke-25 itu mencatat sejarah tersendiri apabila AIM buat pertama kali berlangsung di Bumi Kenyalang. – HIBGLAM

