Salah sendiri, orang tidak tahu saya penyanyi – Fiza Thomas

SEDEKAD bertapak dalam industri seni, sepertinya ramai hampir terlupa Fiza Thomas merupakan seorang penyanyi yang lahir dari program realiti, Akademi Fantasia 2016 (AF2016).

Pemilik nama penuh Nur Hafizah Longkip Thomas itu mengakui aktif dalam dunia lakonan dan teater sejak 2017 merupakan antara sebab namanya seperti hilang dari radar dunia nyanyian.

Tetap manusia biasa, dia mengakui, adakalanya berasa sedih apabila segelintir pihak lebih mengenalinya sebagai pelakon berbanding penyanyi.

“Sedih juga apabila ada yang label saya dengan satu kerjaya sahaja ‘Fiza Thomas yang pelakon itu’ sebab mereka tidak pernah tahu saya juga menyanyi.

Saya salahkan diri sendiri kerana saya tidak mengetengahkan kemampuan dan cerita mengenai nyanyian kepada khalayak.

“Namun, harapnya selepas ini apabila orang dengar nama saya, mereka akan kata, ‘oh yang penyanyi itu’ itu sudah cukup,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Mahu mengembalikan semuanya ke haluan yang sepatutnya, anak kelahiran Sabah itu melancarkan album EP berjudul Rayakan Dia baru-baru ini.

Kongsinya, album yang memuatkan lima lagu itu merupakan hasil selepas tersedar melihat rakan-rakan seperjuangan dan penyanyi lain aktif membuat persembahan.

“Saya pergi tengok konsert dan seronok melihat orang menyanyi beramai-ramai. Seronok tengok mereka buat persembahan.

Jiwa seorang penghibur saya sangat kuat dan suka menghiburkan orang tambahan pula perjalanan seni bermula dari pentas teater muzikal.

“Kemudian orang di sekeliling beri sokongan kuat minta lancarkan lagu dan berkarya. Mereka ‘brainwash’ saya yang akhirnya terhasillah Rayakan Dia,” ujarnya.

Katanya, lima lagu yang terisi dalam album yang menelan kos RM50,000 tersebut mengetengahkan genre pop dan balada serta jalan ceritanya mengenai kisah manis bersama insan tersayang.

Lima lagu yang dilancarkan ialah Tirai, Manusia Pertama, Wahai Dia, Penamat Cerita? dan Rayakan Dia.

Banyak inspirasi dan momen manis datang daripada kisah cinta bersama suami.

“Dia banyak memberikan inspirasi untuk saya menulis, semoga semua yang mendengar dapat merasai kemanisan itu,” kongsinya.

Dalam pada itu, dia mengakui antara cabaran terbesar penghasilan album tersebut ialah tidak mempunyai kemahiran bermain alat muzik, sebaliknya hanya mampu menyumbang melodi melalui humming.

Kebiasaannya, dia akan merakam melodi yang terlintas dalam fikiran menerusi rakaman suara sebelum memperdengarkan kepada komposer untuk diterjemahkan dalam bentuk muzik.

Mencabar sebab saya tak pandai buat muzik, hanya mampu humming sahaja. Saya tak boleh main gitar atau keyboard pun tetapi saya kuat berangan.

“Kemudian saya boleh ketuk-ketuk dinding, buat bunyi dan melodi begini begitu,” ujarnya lagi.

Namun, dia kini mengambil inisiatif dengan berusaha mendalami ilmu muzik terutama perkara asas.

“Kalau mereka tanya saya key apa, memang saya tak tahu.

Apa pun saya sedang belajar untuk mengenal muzik dengan lebih mendalam,” kata pelakon teater muzikal Mansur & Liu itu.

Mungkin ada yang beranggapan terdesak, dia bagaimanapun enggan terburu-buru untuk kembali dikenali sebagai penyanyi kerana yakin setiap individu mempunyai rezeki masing-masing.

“Dalam tempoh sekarang, saya tak rushing atau cemburu dengan kejayaan rakan seperjuangan lain dalam bidang nyanyian.

“Bagi saya, untuk pastikan nama kekal dalam industri, ada banyak cara dan saya okey kalau rezeki lebih tertumpu pada bidang lakonan,” noktahnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok