KECANGGIHAN teknologi mungkin mampu meniru lenggok suara, menghasilkan melodi dalam sekelip mata dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI), namun ada satu perkara sukar ditandingi mesin, iaitu jiwa manusia di sebalik sesebuah karya.
Bagi penyanyi Ernie Zakri, keindahan muzik tidak terletak pada kesempurnaan bunyi semata-mata, sebaliknya turut berpaksikan emosi, pengalaman dan ilham penciptanya.
Dia percaya bakat tulen serta karya bermutu akan sentiasa mempunyai tempat di hati peminat, kendatipun landskap industri terus berubah mengikut perkembangan teknologi.
Namun, ketika teknologi semakin mudah diakses, adakah bakat sebenar bakal tenggelam dalam lambakan kandungan segera dan kemunculan kecerdasan buatan (AI)?
Tenang mengulas perkembangan tersebut, pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri itu optimis kemajuan teknologi tidak semestinya menjadi ancaman kepada penggiat seni.
Baginya, fenomena itu mampu membuka mata masyarakat untuk kembali menghargai keistimewaan manusia dalam menghasilkan karya, asalkan penggunaannya tidak sampai mengetepikan peranan kreativiti dan bakat semula jadi.
“Saya sentiasa percaya bakat berkualiti akan terus menjadi bakat berkualiti, manakala lagu dan karya seni bermutu akan sentiasa dicari semula masyarakat. Dengan kehadiran teknologi AI sekarang, saya rasa kesedaran untuk menghargai sentuhan manusia mungkin menjadi lebih kuat.
Tidak salah menggunakan teknologi ini selagi kita memanfaatkannya untuk tujuan baik. Namun, apabila penggunaannya menjadi tidak adil sehingga mengetepikan terus sentuhan manusia, bagi saya perkara itu sudah melampaui batas.
“Dalam proses menghasilkan karya, manusia mempunyai hubungan tersendiri dengan anugerah dan ilham daripada Allah. Jadi, apabila kita terlalu bergantung pada AI sehingga mengehadkan kreativiti sendiri, saya rasa kita perlu menilai semula pendekatan tersebut,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas kemungkinan landskap muzik tempatan lima tahun akan datang semakin dikuasai penyanyi tular dengan lagu AI, pelantun lagu Aura itu mengakui tidak pernah terlintas di fikirannya untuk meninggalkan industri semata-mata kerana perubahan berkenaan.
Malah, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) itu melihat perubahan cita rasa pendengar sebagai petanda positif apabila masyarakat mula kembali mencari pengalaman muzik lebih autentik, termasuk persembahan secara langsung dan karya dengan sentuhan manusia.
“Setakat ini tidak pernah terfikir untuk berundur daripada industri hanya disebabkan AI atau perkembangan teknologi lain. Saya percaya keadaan ini perlahan-lahan akan menjadi lebih baik.
“Bagaimanapun, kita perlu mengikut arus perubahan. Kalau terlalu melawan arus, kita sendiri boleh tenggelam. Perlu bergerak dengan bijak, memahami perkembangan semasa dan menyusun strategi.
Sebagai penyanyi, kena merancang perjalanan kerjaya serta mempunyai pelan sokongan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Selagi kita tahu menyesuaikan diri tanpa mengorbankan prinsip dan kualiti, saya percaya semuanya akan baik-baik sahaja,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ernie kini sedang hangat mempromosikan lagu terbaharunya, Sejambak Bunga selain rancak memberikan bayangan mengenai album terbaharunya berjudul Atma Ernie Zakri yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. – HIBGLAM

