‘Ayah datang dalam mimpi, beri sejadah suruh saya solat’ 

SELEPAS tiga tahun pemergian Allahyarham Suhaimi Saad, penyanyi Hadie Elfardie mengakui kerap bermimpi bertemu bapanya, malah pernah menerima teguran mengenai ibadah solat.

Ujar Hadie atau nama sebenarnya Ehmad Hadie Elfardie, 18, pengalaman itu berlaku selepas dia menziarahi pusara bapanya di Johor dan meluahkan kerinduan, selain berdoa agar arwah hadir dalam mimpinya.

“Jujur cakap, memang selalu bermimpi tentang ayah, cuma kadang-kadang ingat dan tidak. Namun, mimpi paling saya ingat berlaku baru-baru ini selepas pulang dari Johor dan singgah di pusara arwah ayah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya berdoa dan bercakap dengan ayah, kalau Allah izinkan ayah datang, datanglah dalam mimpi. Jangan datang depan-depan sebab saya takut terkejut. Kalau ayah datang untuk menegur, tegurlah dalam mimpi.

“Kebetulan atau tidak, ketika saya duduk di situ agak lama, tiba-tiba angin bertiup kuat. Pada awalnya cuaca panas, kemudian angin datang dengan kuat. Mungkin kebetulan sahaja,” katanya kepada HibGlam.

Tambah Hadie, setidaknya rindu terubat sedikit malah menganggap doanya seperti dimakbul Tuhan apabila terus didatangi arwah bapanya meskipun hanya dalam mimpi.

“Saya masuk rumah terus baring dan tertidur dan bermimpi ayah.

Dia tidak bercakap banyak dan saya juga tidak nampak wajahnya, tetapi saya tahu itu ayah. Dia memberikan sejadah dan menyuruh saya solat.

“Saya terus terjaga dan terfikir, mungkin ayah mahu mengingatkan supaya menunaikan solat Asar. Terus bangun, beristighfar, masuk bilik air mengambil wuduk dan menunaikan solat,” ujarnya pada temu bual eksklusif lagu Dusta Sebuah Cinta, semalam.

Paling penting ungkap Hadie, kenangan bersama bapanya tetap subur dalam ingatan meskipun masa terus berlalu.

Rindu itu tetap ada. Tidak boleh hendak lupakan sebab dia ayah saya. Cuma saya tidak mahu meratap atau menangis secara berlebihan.

“Setiap kali solat, saya akan doakan ibu bapa saya dan ketika itu memang saya akan teringat kepada arwah ayah.

“Saya tidak pernah lupa dan rasa rindu itu tetap ada, cuma saya tidak mahu sampai meratap atau menangis. Setiap kali rindu, saya akan doakan dia,” jelasnya.

Pun begitu, anak sulung penyanyi Ina Naim itu juga sempat berseloroh agar arwah tidak terlalu kerap hadir dalam mimpinya kerana bimbang terkejut ketika sedang lena.

“Kalau boleh, jangan selalu sangat sebab terkejut juga ketika sedang tidur, penat-penat pula ayah datang.

Tetapi kalau saya terlupa atau terleka, kalau Allah izinkan, tegurlah saya dengan cara yang baik,” kongsinya.

Untuk rekod, Suhaimi, bekas anggota kumpulan nasyid In-Team, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru akibat jangkitan kuman pada paru-paru pada 15 November 2023. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok