Hati anak Rizalman mungkin dibedah, dipantau di HDU

TERUS memohon doa orang ramai, pereka fesyen Datuk Rizalman Ibrahim berkongsi perkembangan terkini keadaan anak angkatnya, Umar Nail, yang masih dipantau rapi di wad berkebergantungan tinggi (HDU) susulan terlibat dalam kemalangan ngeri.

Rizalman, 54, berkata pasukan perubatan kini memantau keadaan Umar untuk beberapa hari sebelum keputusan dibuat sama ada memerlukan pembedahan pada bahagian hati atau sebaliknya.

“Bismillah, setakat ini keadaan Umar masih dipantau di wad berkebergantungan tinggi untuk beberapa hari lagi, sama ada keadaan hatinya perlu dibedah atau sebaliknya,” katanya menerusi Instagram Story.

Terdahulu, Rizalman berkongsi berita duka apabila Umar, 27, terlibat dalam kemalangan selepas bertembung dengan sebuah lori ais di kawasan Wangsa Walk, semalam.

Umar dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas tercampak ke bawah lori sebelum digilis selama beberapa saat, sekali gus menyebabkan komplikasi pada organ dalaman.

Mengimbas detik cemas itu, Rizalman berkata, Umar keluar rumah selepas membantunya memotong lobak sebelum berjalan di laluan pejalan kaki di Wangsa Walk.

“Aku tahu kalian risaukan kami, tetapi buat masa ini biarlah aku selesaikan dahulu bahagian aku. Umar keluar sekejap selepas membantu memotong lobak. Dia sedang berjalan di laluan pejalan kaki di Wangsa Walk sebelum tiba-tiba bertembung dengan sebuah lori ais secara mengundur.

“Umar masuk ke bawah lori dan digilis selama beberapa saat. Disebabkan kejadian itu, terdapat sedikit komplikasi pada organ dalamannya.

“Ramai orang berada di lokasi kejadian dan banyak membantu. Pada awal menerima berita, aku benar-benar tersepit antara dua amanah, iaitu anak dan urusan perniagaan kerana ketika itu aku sedang memasak nasi tomato,” kongsinya.

Tambah Rizalman, keadaan Umar pada peringkat awal amat membimbangkan sehingga pembedahan segera diperlukan.

Namun, perkembangan terkini menunjukkan anak angkatnya kini berada di bawah pemantauan pasukan pakar.

“Allah aturkan beberapa kenalan VVIP aku membantu memudahkan urusan hospital, di samping doa daripada kalian semua.

“Pada awalnya, Umar sangat kritikal dan memerlukan pembedahan, tetapi sekarang dia berada di bawah pemantauan pakar.

“Aku pasti dia keluar semalam sebab mahu pergi tekan ATM, kemudian keluarkan duit gaji bulanannya untuk disedekahkan kepada aku,” jelasnya.

Pada masa sama, Rizalman menzahirkan penghargaan terhadap orang ramai di lokasi kejadian serta semua pihak membantu melancarkan urusan rawatan Umar ketika situasi genting berkenaan.

Perkongsian tersebut mengundang sebak netizen, malah ruangan komen dipenuhi titipan doa serta harapan agar Umar diberikan kekuatan, dipermudahkan segala urusan rawatan dan segera kembali pulih.

Untuk rekod, Umar Nail merupakan anak angkat pertama Rizalman, diambil daripada seorang kenalan berasal dari Kelantan ketika masih menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM). – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok