ENAM bulan mengatur kejutan, pelakon dan penyanyi Kael Lean melamar model juga usahawan Engku Sulwani Engku Ismail bertepatan ulang tahun kelahiran kekasihnya itu yang diadakan serentak dengan majlis pelancaran lagunya, semalam.
Menurut Kael, 37, dia sudah merancang untuk membuat kejutan itu sejak awal tahun ini dengan memilih 28 Ogos bagi kedua-dua tarikh istimewa ini agar wanita terbabit tidak dapat menghidu sesuatu bakal berlaku.
“Sebenarnya saya dah rancang buat kejutan lamaran ini sejak enam bulan lalu. Saya pilih hari ini sebab ini merupakan detik istimewa buat kami berdua memandangkan saya juga melancarkan lagu Senyum serta meraikan hari jadinya.
“Tahun lalu semasa saya melancarkan lagu Angkasa, dia ada bersama dan sengaja saya pilih tarikh hari ini untuk lancarkan pula lagu Senyum yang jatuh pada hari lahirnya.
“Dia sentiasa mendampingi saya, jadi saya mahu buat sesuatu yang istimewa untuk dirinya dan inilah peluang terbaik,” katanya selepas majlis pelancaran lagu berkenaan.
Lelaki Tionghua itu membuat kejutan lamaran dengan melutut sambil menyerahkan sebentuk cincin berlian dua karat kepada Engku Sulwani, 35, berserta jambangan bunga ros merah.
Menurutnya lagi, dia sudah bertemu dengan keluarga bakal isteri bagi memohon restu berkenaan hubungan mereka pada sekitar Mei lalu.
“Tiga bulan lalu, masa hari raya haji saya pergi ke Kelantan untuk bertemu dan berkenalan dengan keluarganya. Saya ke sana bagi meminta restu dengan orang tuanya. Alhamdulillah mereka merestui.
“Insya-Allah dalam tempoh enam bulan ini kami akan menuju ke fasa ke arah perkahwinan. Doakan urusan membina masjid yang mungkin tahun depan berjalan lancar,” ujarnya.
Sementara itu, Engku Sulwani mengakui terkejut dengan lamaran kekasihnya selain turut meluahkan rasa teruja untuk menjadi isteri Kael.
“Saya terkejut. Saya ingat tahun depan sebab memang tak sangka tambahan pula saya tak sukakan surprise. Tapi dia pilih hari ini untuk buat kejutan. Saya gembira akan menjadi teman hidupnya.
“Kalau boleh saya nak majlis yang simple sahaja, buat yang wajib nak terus nikah sebab tak sabar nak jadi isterinya,” katanya.
Terdahulu, Kael yang memeluk agama Islam pada awal bulan ini mendedahkan mengenali kekasihnya sejak dua tahun lalu selain menyifatkan Engku Sulwani sebagai wanita teristimewa. – HIBGLAM
