MENJADI wakil negara untuk pertandingan nyanyian di peringkat antarabangsa sememangnya impian bagi setiap penyanyi.
Jika dahulu pertandingan seperti Voice Of Asia menjadi antara pertandingan nyanyian antarabangsa yang ditungu-tunggu.
Ramai penyanyi Malaysia yang pernah mengharumkan nama negara dalam pertandingan yang berpangkalan di Kazakhstan itu, antara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Ziana Zain, Anis Suraya dan Zamani.
Kini tiba giliran penyanyi dan komposer terkenal Aina Abdul pula terpilih mengharumkan nama negara di pertandingan Eurovision Song Contest Asia yang julung kali diadakan.
Aina bakal berentap bersama 10 lagi wakil dari negara rantau Asia antaranya Filipina, Thailand, Korea Selatan, Vietnam, Bhutan, Kemboja, Bangladesh, Nepal, Laos dan Mongolia.
Untuk menyertai pertandingan tersebut Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 33, sudah menyiapkan sebuah lagu khas yang berjudul Bluest Sky.

AINA buat pertama kali memperdengarkan lagu Bluest Sky yang dirakamkan khas untuk pertandingan Eurovision Song Contest Asia di Bangkok pada 14 November nanti.
Bluest Sky merupakan lagu bahasa Inggeris yang diselitkan sedikit elemen Nusantara untuk dipersembahkan di pentas pertandingan yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada 14 November depan.
Menurut Aina, dia memang sengaja memilih lirik bahasa Inggeris kerana mahu ramai yang menonton dan mendengar nanti lebih faham makna lirik lagu tersebut.
“Sebenarnya saya tulis banyak lagu untuk ke pertandingan ini. Tak tidur saya buat lagu sejak tamat Anugerah Juara Lagu baru-baru ini.
“Tetapi akhirnya saya memilih lagu Bluest Sky. Lagu ini antara lagu yang sangat bermakna, seperti surat cinta saya untuk seseorang. Saya selalu menganggap orang itu ibarat langit biru. Tambahan pula saya memang seorang yang sukakan alam.
“Saya sengaja menulis lirik lagu ini dalam bahasa Inggeris kerana lebih mudah difahami ramai penonton antarabangsa. Jadi lebih mudah untuk menyentuh emosi yang mendengar lagu ini nanti.
“Tetapi saya tetap selitkan elemen Nusantara dalam lagu saya. Ada bunyi seruling yang dimainkan oleh pemuzik handalan, Mohram,” kongsinya.
Bercerita lanjut tentang lagu tersebut, kata Aina dia mengambil masa yang agak lama untuk mencipta dan merakam lagu tersebut.
“Selalunya saya hanya ambil waktu dua jam sahaja untuk rakam lagu. Tetapi untuk lagu ini, dari pagi sampai malam saya di studio. Ini adalah lagu paling lama yang saya rakam.
“Bukan itu sahaja, lagu ini dirakam di dua studio berlainan iaitu di Kuala Lumpur dan Seremban,” kongsinya.
Cabaran 3 minit
Ditanya apakah cabaran yang dilaluinya untuk menghasilkan lagu berkenaan, kata penjulang trofi juara AJL37 mengakui bergelut untuk mencurahkan segala emosi dalam durasi tiga minit.

AINA berterima kasih kepada pengurusan Media Prima kerana memberi kepercayaan kepadanya mewakili Malaysia berada di pentas Eurovision Song Contest Asia. – SYAKIR RADIN
“Lagu Bluest Sky ini mungkin kedengaran indah, tetapi ada banyak cabaran yang saya lalui.
“Cabaran menghasilkan lagu ini adalah untuk menyanyikannya. Lagu ini pada saya agak besar. Perlu disampaikan dalam emosi yang tepat dan tak ada rehat.
“Durasi untuk Eurovision pula tiga minit tepat. Saya rasa semua tahu saya memang suka ‘over the time’. Kalau buat persembahan nak sampai enam minit.
“Kali ini cabaran saya adalah tiga minit. Dalam tiga minit saya perlu curahkan segala perasan, emosi cinta, sedih, marah. It’s the hardest thing for me,” ujarnya.
Bercakap tentang persediaan menghadapi pertandingan tersebut, kata Aina tinggal 50 peratus sahaja lagi yang perlu diperhalusi sebelum terbang ke Bangkok.
Dia bagaimanapun berterima kasih kepada pentas AJL, dan menganggap pentas itu sebagai sekolah untuknya dalam memberikan persembahan terbaik.
“Saya dilahirkan untuk melakukan ini semua. Saya sudah lakukan persembahan sebegini sejak beberapa tahun lalu. Percaya atau tidak, pentas AJL sudah menjadi sebuah sekolah untuk saya. Saya belajar menjadi kental di pentas AJL.
“Sekarang saya sudah bersedia untuk membawa segala pengalaman saya di pentas antarabangsa,” katanya. – HIBGLAM

