MENUMPUKAN usaha melahirkan generasi baharu pencipta kandungan digital berkualiti tinggi, KamiSempoi International Agency (KSIA) melangkah ke hadapan menerusi penganjuran KamiSempoi Golden Award 2025 dan pelancaran KamiSempoi Premier Academy.
Memasuki penganjuran tahun keempat berturut-turut, majlis anugerah berprestij itu berlangsung pada 28 Ogos di Glitz Gala Ballroom, Pusat Perdagangan Mines 2 bagi meraikan pencapaian hos TikTok LIVE, sub-agency, gifter serta penaja dari seluruh rantau Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KSIA merangkap Live Host TikTok, Pakcik Chin Swee berkata, penganjuran itu merupakan platform pengiktirafan buat seluruh ekosistem yang bertungkus-lumus mengukuhkan jenama agensi berkenaan.
“KamiSempoi Golden Award diadakan untuk menghargai semua pihak dalam platform kami, termasuk live host, sub-agency, gifter dan rakan penaja.
“Kami mahu mereka tahu bahawa kerja keras mereka dihargai, sekali gus menjadi motivasi kepada ‘live host’ lain untuk meningkatkan prestasi,” katanya.
Penganjuran edisi kali ini mempertandingkan 20 kategori pengiktirafan merangkumi 13 kategori Live Host, tiga kategori Sub-Agency dan Talent Manager, satu kategori Gifter, serta tiga anugerah utama mengikut pasaran iaitu Top Host Malaysia, Singapore dan Indonesia.
Bagi mengangkat standard industri live streaming tempatan ke peringkat lebih profesional, KSIA turut mengumumkan penubuhan KamiSempoi Premier Academy yang beroperasi di Quill City Mall, Kuala Lumpur.
Jelas Chin Swee, akademi tersebut menawarkan program latihan komprehensif selama satu tahun merangkumi aspek teknikal, komunikasi, penampilan (grooming), penyampaian serta kualiti produksi LIVE.
“Di China menerusi platform Douyin, mereka sudah 10 hingga 12 tahun lebih ke hadapan dan LIVE dijalankan seperti sebuah rancangan televisyen atau konsert. Kita di Malaysia perlu mula bergerak ke arah itu.
“Melalui akademi ini, kami tidak meletakkan latar belakang sebagai syarat utama. Sama ada penyanyi, pengacara, pelajar atau suri rumah, yang penting mereka serius mahu menjadikan live streaming sebagai kerjaya tetap,” tambahnya. – HIBGLAM
