Antara simpati, lubuk rezeki, pintu kebencian

SUDAH hampir dua minggu algoritma media sosial meledak disebabkan kemunculan Norish Karman dalam siaran langsung Datuk Aliff Syukri.

Melihat semula asbab namanya menjadi bualan adalah selepas anak perempuannya, Hany Amanda mendedahkan tahap kesihatan aktres itu merosot disebabkan penyakit yang tidak dedahkan secara terperinci sehingga hari ini.

Dia juga meminta ihsan orang ramai dengan membuka tabung online bagi membantu menampung kos perubatan ibunya.

Tidak terhenti di situ, kemunculan pertama Norish bersama lapan anaknya yang bersiaran langsung dengan Aliff pada 15 April lalu menjadi titik permulaan kepada terbukanya pelbagai cerita negatif mengenainya.

Masakan tidak, beberapa kenyataan yang diberikan dalam siaran langsung tersebut seperti tidak mengukur baju di badan sendiri seperti berhasrat membeli kereta berharga RM150,000 sekiranya memiliki wang sebanyak RM200,000.

Kenyataan-kenyataan sebegitu memakan dirinya semula, terutama niat asal bersiaran langsung adalah untuk menagih simpati dan mencari ruang pekerjaan baharu.

Rentetan itu, terlalu banyak aib lain diselak netizen termasuk dakwaan kecurangan, kesombongan dan pura-pura berdepan kesukaran.

Untuk sesi pertama siaran pertama bersama Aliff, dia menerima wang ‘gaji’ sebanyak RM20,000 kerana dikatakan turut bekerja menjual produk usahawan tersebut.

Tidak serik dan masih teruskan niat mencari rezeki demi keluarga, Norish sekeluarga sekali lagi tampil bersiaran langsung bersama Aliff pada Ahad lalu, namun sayangnya tidak meraih kutipan jualan yang memberangsangkan.

Barangkali, ramai yang sudah muak dengan strategi menjual kisah sedih untuk melariskan jualan.

Netizen kali ini seakan-akan mula sedar bahawa bantuan tidak lagi boleh dihulurkan sebegitu sahaja, tambahan pula mereka melihat anak-anak Norish yang sudah dewasa sepatutnya keluar bekerja membantu menyara keluarga.

Kali ini, jiwa netizen tidak lagi teracun dek kisah sedih yang diubah menjadi gula-gula. 

Bagi mereka, cukup hanya sekali memberi talian hayat terhadap keluarga tersebut.

Kalam kerancakan netizen mengecam Norish sekeluarga, ramai juga berpendapat situasi berkenaan tidak akan berlaku sekiranya Aliff tidak membuka ruang dan peluang tersebut.

Aliff, Vida

Sudah-sudahlah Datuk, lebih baik pergi bantu orang yang betul-betul susah. Naik menyampah nak tengok ‘live’ kalau dengan Norish, tak tahu susah dia itu betul atau rekaan,” komen netizen.

Mungkin niat Aliff hanyalah mahu menjadi perantara kepada lebih banyak pintu rezeki terbuka tetapi lain pula yang berlaku.

Lebih teruk, ada yang melabelkan Aliff mahu pun selebriti yang dijemput saling ‘menunggang’ dan mencari kesempatan antara satu sama lain.

Bukan hanya Aliff, seorang lagi usahawan sensasi, Datuk Seri Vida terjebak tempias apabila menjemput Azar Azmi bersiaran langsung bersamanya selama beberapa hari.

Selain dilabel ‘scammer’, Azar juga dikatakan sengaja menjaja karakter sedih dengan kerap menitiskan air mata setiap kali berbicara tentang kepayahan hidupnya.

Disebabkan hal tersebut, Vida juga dikatakan sengaja menggunakan Azar dan kisah hidupnya untuk melariskan jualan produk dalam TikTok.

Mungkin daripada isu ini, segelintir pengasas produk perlu sedar bahawa tidak semua individu layak ‘dijual’ dalam media sosial untuk meraih simpati ramai.

Namun, dalam masa sama, netizen juga seharusnya berpada-pada dalam melemparkan komen-komen negatif dan perlu bijak mengawal emosi meskipun marah dan benci membuak-buak dalam diri.

Jangan disebabkan sibuk menyelak aib orang lain, diri sendiri diheret ke mahkamah kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok