Dekati Islam dah 4 tahun, bukan sebab nak kahwin – Kael Lean

MENDEKATI agama Islam sejak empat tahun lalu, pilihan penyanyi Kael Lean mengucap dua kalimah syahadah lahir daripada pencarian peribadi, bukan disebabkan mahu berkahwin dengan kekasihnya.

Kael atau nama sebenarnya, Michael Lean Chien, 37, berkata proses mendekati Islam sudah tercetus lama sebelum mengenali model, Engku Sulwani Engku Ismail yang mula rapat dengannya sekitar tahun 2004.

“Kami berkenalan dah dua tahun tapi ikutkan sebelum itu lagi saya memang simpan hasrat memeluk Islam, keinginan ini juga bukan disebabkan nak kahwin.

“Sepanjang empat tahun saya sentiasa bertanya pada diri sendiri, cuma waktu itu saya masih lagi mencari. Saya percaya apabila bersama dengannya, dia bagaikan katalis terhadap keputusan saya,” katanya selepas majlis pelancaran lagu baharunya, Senyum, hari ini.

Menurut Kael yang menceburi arena seni lebih sedekad lalu, perjalanan selama empat tahun itu dipenuhi pelbagai persoalan yang akhirnya menemukan ketenangan dalam hidup.

“Ini keputusan yang sangat peribadi bagi saya. Saya mengambil masa empat tahun kerana ketika itu saya teragak-agak dan sedang mencari sesuatu.

“Saya mahu mencari ketenangan dalam hidup kerana banyak dugaan dan cabaran yang saya lalui sehingga ada satu masa saya sangat ‘down’ dan tertekan,” ujarnya.

Katanya, dia akhirnya membuka hati untuk memeluk Islam pada 3 Ogos lalu, namun hanya mengumumkan perkara itu kepada umum beberapa hari kemudian sempena sambutan Maulidur Rasul selepas mengambil masa menyediakan dirinya secara mental dan emosi.

Katanya, dia kini mahu mendalami Islam secara perlahan-lahan tanpa tekanan, termasuk mengikuti kursus Fardu Ain yang disarankan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Saya berharap orang ramai boleh berikan saya ruang untuk belajar dan meneroka. Banyak benda yang perlu dipelajari dan saya perlukan masa,” katanya.

Mengenai perancangan mendirikan rumah tangga, namun menegaskan perkara tersebut bukan keutamaan kerana fokus kini adalah proses mendalami Islam.

“Saya ada rancangan untuk berkahwin, tetapi semuanya satu proses. Saya tidak mahu tergesa-gesa. Kalau jadi pun Insya-Allah tahun depan,” ulasnya.

Terdahulu, Kael juga pelakon mengesahkan dirinya memeluk agama Islam melalui perkongsian video yang dimuat naik Instagram miliknya.

Lelaki Tionghua itu hadir ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama teman wanitanya, Engku Sulwani, untuk urusan pengislaman. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok