‘Jika dia mampu jaga mama, bukan biawak hidup, saya okey’ 

TULAR cek hantaran berjumlah RM10 juta, penyanyi Azeva menyerahkan kepada ibunya, Datuk A. Aida untuk mengulas dakwaan kononnya produser terkenal itu sudah bernikah buat kali keempat.

Azeva atau nama sebenarnya, Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin berkata, dia tidak menghalang andai ibunya mahu mendirikan rumah tangga, namun sebagai anak, dia perlu memastikan lelaki berkenaan mampu menjaga serta tidak mengambil kesempatan.

“Bagi saya kalau ada hantaran RM10 juta untuk mama, saya okey sahaja, cuma kena tanya dia sendiri untuk mengesahkan mengenai spekulasi yang diperkatakan baru-baru ini.

Tapi jika minta pendapat berkenaan calon (suami) mama, saya kena kaji dulu lelaki itu. Asalkan dia mampu jaga mama, tak menyusahkan dan tak jadi biawak hidup, saya okey.

“Jangan tiba-tiba nak kahwin, kemudian lelaki itu tak mahu bekerja dan hanya nak bergantung kepada mama. Memang tak lah,” katanya kepada HibGlam.

Menurut Azeva juga pelakon serta pengacara itu, dia mengetahui kata laluan telefon ibunya malah kadangkala turut menyemak peranti tersebut sekiranya terdetik di hati ada sesuatu yang mencurigakan.

“Saya memang pantau serta semak telefon mama. Dia pun tahu saya suka tengok selain maklum saya ingat semua kata laluan, bukan masalah pun kepadanya.

Jadi kalau tiba-tiba tergerak hati, saya akan semak mesej mama. Mahu berjaga-jaga. Lepas itu saya akan tanya, ‘Siapa ni, mama? Apa ni?’,” katanya sambil ketawa.

Menurut Azeva, tindakan itu bukan kerana mahu mengongkong sebaliknya dia bimbang sekiranya insan kesayangannya itu tersalah memilih pasangan selepas beberapa lelaki sebelum ini didakwa cuba mendekati ibunya atas faktor ingin menumpak kesenangan.

Banyak kali lelaki dekati mama macam itu. Dia nak stabilkan ekonomi. Sebab itu saya kena tegas sedikit dengan mama,” ujarnya.

Begitupun, pemilik syarikat Hello Production itu mengakui tidak sanguup melihat ibunya terus kesunyian selepas bertahun-tahun menjalani kehidupan sendirian.

Saya tahu mama sunyi. Sudah lama dia bangun tidur seorang, hidup seorang dan makan seorang. Kalau dia nak kahwin, saya gembira sangat,” katanya.

Azeva merupakan zuriat hasil perkahwinan A. Aida dengan bekas suaminya, Ameng Spring dan mereka memiliki seorang lagi anak, Wan Az Aleesa, manakala dengan bekas suami kedua, produser terbabit dikurniakan seorang putera, Muhammad Fuad.

Beralih perkembangan karier, anak kedua daripada tiga bersaudara itu bakal tampil dengan filem sulung terbitan syarikatnya sendiri berjudul Bisikan Nafsu bermula 1 Oktober ini.

Naskhah terbitan bersama A. Aida Production serta Mache Allstar United itu turut membariskan Aniq Suhair dan Azeva selaku teraju utama, selain Zul Huzaimy, Aleza Shadan, Watie Sadali, Raja Azmi, Ezzaty Abdullah serta Aishah Husna. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok