‘Terpilih kerana uji bakat, bukan sebab saya Ummi Nazeera’

BIARPUN sudah 20 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, pelakon terkenal Ummi Nazeera tiada masalah untuk menghadiri uji bakat demi mendapatkan watak dalam filem.

Terbaru, Ummi atau nama lengkapnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 36, terpilih sebagai heroin filem arahan Erma Fatima, Langit 2 Warna bergandingan dengan pelakon popular Indonesia, Reza Rahadian.

“Saya terpilih dalam filem ini kerana saya pergi uji bakat, bukan kerana saya Ummi Nazeera. Saya dah biasa pergi sesi uji bakat. Dulu waktu saya berlakon filem Gol & Gincu 2, tiga kali saya kena pergi sesi uji bakat.

“Untuk filem Langit 2 Warna ini, saya dihubungi Erma Fatima untuk hadir ke sesi uji bakat tertutup. Bila Erma minta pergi uji bakat, makanya anda perlu pergi uji bakat. Saya ke sana tanpa saya tahu jalan cerita filem ini tentang apa.

“Tetapi saya sentiasa percayakan Erma Fatima. Saya suka dengan karya-karya yang dihasilkannya.

“Bila saya baca skrip, saya sangat gembira. Tambahan pula ada banyak babak melibatkan anak dengan ayah. Saya memang suka kisah anak dan ayah. Ayah saya pula Eman Manan dalam filem ini,” katanya ketika ditemui di sidang media memperkenalkan barisan pelakon filem Langit 2 Warna, semalam.

Tambah Ummi lagi, dia teruja untuk kembali berlakon di bawah arahan Erma Fatima kerana pengarah itu ialah insan pertama yang membawanya ke dunia lakonan.

“Erma ialah ‘ibu seni’ saya. Dia yang membawa saya ke dunia lakonan ketika saya berusia 16 tahun. Selepas itu ada banyak juga tawaran daripada Erma tetapi saya tidak berkesempatan.

“Jadi bila kali ini saya ditawarkan melakonkan watak Innara arahan Erma selepas 10 tahun dia tidak mengarah, sudah tentu saya tidak mampu menolak,” jelasnya.

Bakal bergandingan dengan Reza Rahadian, kata Ummi dia tidak tahu siapa heronya sehinggalah hari sesi membaca skrip bersama pelakon yang berlangsung semalam.

“Saya cuma tahu pelakon gandingan saya dari Indonesia. Tetapi saya tidak tahu siapa gerangannya kerana Erma merahsiakan sehingga hari ini (semalam). Dia cuma beritahu bahawa saya akan suka dengan hero saya.

“Bila saya lihat Reza, sudah tentu saya gembira. Dia bukan sahaja seorang pelakon hebat tetapi juga seorang pengarah. Saya boleh belajar banyak perkara dengannya,” ujarnya.

Selain Ummi dan Reza, Langit 2 Warna turut menampilkan Christine Hakim, Datin Paduka Umie Aida, Eman Manan, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Zizi Kirana, Heliza Helmi dan Sharifah Aryana. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok