‘Tiada istilah saya, Boss Ned akan kembali bersama’

PELAKON Nadia Brian menepis dakwaan kembali menjalin hubungan cinta dengan bekas kekasihnya, Nedim Nazri atau Boss Ned seperti yang didakwa segelintir pihak selepas memuat naik hantaran berkaitan peluang kedua dalam Threads baru-baru ini.

Menurut Nadia, 35, perkongsian tersebut adalah mengenai peluang kedua dalam hidup dan tidak ada kaitan sama ada mahu kembali kepada bekas kekasih atau sebaliknya.

Hantaran itu tidak ada kena mengena dengan dia pun, tidak ada istilah saya dengan bekas kekasih (Boss Ned) akan kembali bersama, hubungan kami okey cuma tidak berhubung pun.

“Peluang kedua itu sebenarnya dimuat naik secara rawak mengenai diri sendiri. Dalam hidup ini, semua orang perlu ada peluang kedua.

“Dalam fikiran saya ketika itu, mungkin patut memberi peluang kedua pada diri sendiri dalam segala hal termasuk untuk mempunyai hubungan cinta baharu atau sebagainya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Dalam pada itu, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak sekiranya perkongsian tersebut disalah tafsir sehingga mengundang dakwaan tidak benar.

“Sebenarnya orang boleh membuat pelbagai tafsiran dan kita tidak boleh hentikan perkara yang mereka mahu fikir.

Harap penjelasan saya ini menjawab tanda tanya ramai,” katanya lagi.

Ditanya sama ada kini sedang menjalin cinta dengan mana-mana jejaka, dia menafikan perkara tersebut.

Namun, Nadia memberitahu dia selesa berkawan dengan ramai individu ketika ini.

Sekarang status masih solo, perancangan nak kahwin ini memang ada tetapi tidak tahu dengan siapa dan tahun bila.

“Kalau berkawan, memang ramai cuma tidaklah ke arah serius, apa pun doakan untuk saya,” ujarnya.

Terdahulu, hantaran Threads Nadia mengenai memberi peluang kedua mengundang perhatian ramai apabila dia dikatakan kembali bercinta dengan Boss Ned.

Tak salah bagi peluang kan? Berserah pada Allah,” katanya.

Pada Januari lalu, Nadia mengakui hubungannya bersama Boss Ned masih berada dalam fasa saling mengenali hati budi, selain memohon doa daripada peminat serta orang ramai agar segala urusan dipermudahkan dan berakhir dengan kebaikan.

Namun pada Mac lalu, hubungan mereka berakhir secara baik tanpa sebarang konflik besar. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok