‘Tahun lalu rasa macam nak give up, dapat satu job’

TEMPOH 15 tahun bergelar anak seni, pelakon dan penyanyi Razzuan Rosli, 35, bersyukur akhirnya dia ditawarkan watak utama dalam drama Sepenuh Hati Rindu yang akan ditayangkan di slot Samarinda, TV3.

Menurut Razzuan ini kali pertama dia ditawarkan watak utama dalam mana-mana naskhah.

“Berbelas tahun saya tunggu saat ini. Saya bersyukur apabila akhirnya diberi peluang oleh Media Prima untuk bawa watak utama di samping Farah Nabilah dan Shah Jaszle.

“Sejujurnya tahun lepas saya rasa nak putus asa dalam bidang ini. Dalam setahun saya hanya ada satu ‘job’ sahaja.

“Tetapi ada satu malam saya berdoa dan doa-doa saya terjawab selepas beberapa bulan dan saya mula menerima banyak tawaran besar,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama berkenaan, di sini, baru-baru ini.

Siapa sangka tuah daripada video viral dia berkomunikasi dalam bahasa Mandarin ketika sedang berniaga air di pasar malam, Razzuan mendapat banyak tawaran lakonan termasuklah produksi Cina.

“Video viral itu adalah ‘turning point’ dalam kerjaya saya sebab selepas itu tawaran mula hadir satu per satu.

“Saya dapat tawaran membintangi filem Cina dan filem antarabangsa. Satu daripada produksi tempatan, dan satu lagi antarabangsa. Semuanya disebabkan video itu,” jelasnya.

Bercakap tentang soal kerjaya nyanyian pula, kata pelakon 7 Hari Mencintaimu 2 itu dia mempunyai sebuah lagu baharu yang belum dirakam.

“Saya ada lagu baharu, tetapi tak sempat lagi nak rakam. Mungkin tahun ini atau tahun depan.

“Muzik adalah sesuatu yang saya suka. Saya sedar saya bukanlah penyanyi ‘power vocal’. Tetapi jika ada ruang dan peluang untuk buat sesuatu yang kita suka, kita buat sahaja,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok