‘Saya meraikan pandangan orang, nak kutuk, terpulang mereka’

 PADA saya industri kita ini kecil, raikan semua orang.”

Demikian nasihat penyanyi Ernie Zakri yang menegur segelintir pihak termasuk penggiat seni yang gemar memberikan kritikan berbaur sindiran terutamanya terhadap finalis Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) baru-baru ini.

Pada masa sama, Ernie atau nama lengkapnya Ernie Shahirah Zakri, 34, mengingatkan semua pihak seharusnya meraihkan usaha serta kerja keras yang dilakukan setiap penggiat seni.

“Macam saya meraikan pandangan orang, nak kutuk ke nak cakap okey atau tak. Terpulang kepada mereka kerana pada akhirnya sesiapa yang berkata buruk dan baik, mereka memberi pendapat kepada diri sendiri.

“Kita boleh faham makna kata. Jadi, macam saya sendiri mungkin bila dah pernah merasa duduk di pentas AJL, rasa sesuatu yang sangat berat.

“Saya tak akan cakap apa-apa fasal AJL kerana saya yakin, kawan-kawan saya sangat memberi. Ada antara mereka yang ‘struggle’, kita tak tahu proses perjalanan,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Tambah pelantun lagu Masing Masing itu, pihak yang ingin memberikan komen seharusnya disampaikan secara berhemah selain menerapkan pendapat yang berilmiah.

“Kalau busuklah cara mereka menulis, maksudnya busuklah hati mereka. Itu saja saya percaya.

“Tapi kepada kawan-kawan dalam industri sudah semestinya kritikan itu kita terima tapi haruslah secara berhemah. Boleh dikatakan berilmiah ataupun berikan kami input apa yang kita boleh perbaiki, itu lebih baik.

Kritik ini harus datang dengan idea dan pendapat konstruktif, itu lebih bijak dan ada orang yang dia hanya melepaskan kebencian dia,” jelasnya.

Sebelum ini, ramai yang memberikan kritikan terhadap finalis AJL40 dalam aplikasi Threads termasuk penggiat seni. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok