KEMBALI aktif dalam dunia seni, pelakon Intan Ladyana mengakui terpaksa lebih selektif menerima tawaran lakonan demi memastikan urusan keluarga, terutama penjagaan dua cahaya matanya terus terpelihara.
Ujar Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamat Yahaya, 44, dia dan suaminya, Harris, sudah menetapkan satu persetujuan supaya salah seorang daripada mereka sentiasa berada di rumah ketika seorang lagi mempunyai komitmen kerja.
“Saya dan Harris sudah buat perjanjian. Kalau seorang bekerja, seorang lagi mesti berada di rumah. Jika dia terlibat dengan penggambaran, saya akan tolak tawaran kerja.
Bukan tidak percaya kepada pembantu, tetapi kami tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada mereka. Kami perlu bersedia sekiranya berlaku kecemasan. Sekurang-kurangnya ada seorang daripada kami di rumah untuk menguruskan anak-anak.
“Jadi, kami bergilir-gilir. Kalau dia dapat tawaran dan perlu bekerja, saya duduk di rumah. Begitu juga apabila saya mendapat tawaran, dia pula akan menjaga anak-anak,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelakon filem Adnan Sempit itu, pertimbangan sama turut mempengaruhi jenis watak serta projek dipilih, terutama penggambaran berlangsung dalam tempoh panjang dan memerlukan komitmen setiap hari.
“Kalau penggambaran jauh sedikit, saya tetap akan cuba balik rumah. Saya rasa susah untuk berjauhan dengan anak-anak.
Kalau penggambaran di luar Kuala Lumpur, saya akan bawa anak bersama. Untuk episod panjang atau watak utama, agak sukar bagi saya menerima tawaran kerana perlu berada di set setiap hari.
“Jadi, saya lebih memilih watak pembantu atau watak tidak memerlukan saya berada di set setiap hari. Saya akan tengok jadual dahulu, kemudian fikir sama ada projek itu sesuai dengan komitmen keluarga,” ujarnya pada sesi fotografi Akasia: Sumpah Ayahku, hari ini.
Mengulas cabaran menyeimbangkan kerjaya dan kehidupan sebagai ibu, Intan mengakui perkara itu bukan tugas mudah, malah memerlukan disiplin serta pengurusan masa cukup teliti.
“Sejujurnya, agak susah untuk mencari keseimbangan antara kerja dan keluarga. Kita tidak boleh terlalu fokus kepada kerja kerana keluarga serta diri sendiri juga memerlukan perhatian.
Kadang-kadang saya tidak cukup tidur, tetapi tetap perlu bangun awal untuk menghantar anak ke sekolah dan menguruskan keperluan mereka. Ada masa anak terjaga tengah malam dan menangis, jadi selepas selesai semua urusan, saya cuma mahu balik rumah dan tidur.
“Bagi saya, kita kena pandai mengurus masa sendiri. Apabila ada masa untuk tidur, jangan pula sibuk melayari telefon, tengok Threads atau TikTok. Kalau buat begitu, tidur tidak cukup dan akhirnya badan pula penat,” tuturnya.
Intan sebelum ini mengambil tempoh rehat daripada dunia seni selepas melahirkan cahaya mata pertama sekitar 2022.
Untuk rekod, Intan mendirikan rumah tangga dengan Harris pada 5 Februari 2021. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Evie Khadeeja, 4, dan Harris Umayr, 2.
Selain Intan, drama Sumpah Ayahku turut menampilkan pelakon seperti Faizal Hussein, Aiman Hakim Ridza, Shahz Jazle dan Zahirah MacWilson. – HIBGLAM
