PENYANYI Aisha Retno menegaskan air mata bercucuran selepas menamatkan persembahan lagu Tak Adil di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) bukan tanda kecewa, sebaliknya kerana lega selepas berjaya melunaskan sebuah pementasan sarat emosi bersama adiknya.
Ujar Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, karya berkenaan menuntut komitmen besar apabila bukan sahaja tampil bersama penari dan prop, malah membawa adiknya sendiri sebagai anggota pemuzik untuk mengiringi persembahan.
“Sebenarnya saya menangis kerana lega. Karya ini sangat berat, terutama apabila saya perlu menguruskan penari, prop serta membawa adik sendiri bersama dalam persembahan.
Apabila melihat adik saya menangis, saya terus terfikir, ‘Ya Allah, kami berdua akhirnya sampai ke Anugerah Juara Lagu bersama-sama.’ Saya buat semua ini khusus untuk adik saya.
“Jadi, air mata itu sebenarnya tanda kelegaan. Saya tidak pernah terfikir kami akan menjejakkan kaki ke pentas AJL bersama,” katanya kepada HibGlam.
Aisha turut menyifatkan kejayaan merangkul gelaran naib juara sebagai satu penghargaan besar, biarpun hadir ke AJL40 dengan sasaran untuk memburu kemenangan dalam kategori persembahan atau vokal terbaik.
“Sudah tentu setiap kali berada di AJL, kita ada sasaran sendiri, sama ada mahu memenangi Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik atau sebagainya. Niat itu memang ada, tetapi selebihnya saya serahkan kepada juri.
“Alhamdulillah, saya sangat berbesar hati. Terima kasih kepada panel juri kerana sudi menilai karya ini dari segi komposisi, penulisan lirik dan segala aspek lain.
Sekali lagi saya meraih naib juara dan saya sangat gembira. Keputusan ini memberi suntikan semangat untuk terus berkarya. Kalau ada rezeki tahun depan, mahu kembali mungkin bukan sebagai penyanyi, tetapi dengan karya yang dinyanyikan orang lain,” ujarnya.
Ditanya mengenai perancangan selepas AJL40, Aisha berkata, fokus utama kini beralih kepada persiapan pementasan muzikal Puteri Gunung Ledang, apatah lagi itu menjadi penampilan sulungnya dalam arena muzikal.
“Selepas ini, saya akan ‘berkampung’ dengan produksi Puteri Gunung Ledang. Penjualan tiket juga akan bermula pada 18 Ogos dan 21 Ogos, jadi saya perlu memberikan fokus sepenuhnya.
Ini kali pertama saya muncul dalam arena muzikal teater. Banyak perkara perlu dilakukan, bukan sekadar menyanyi, tetapi menari, menjiwai watak serta berlakon bersama barisan pelakon hebat.
“Dalam masa sama, saya juga akan mengeluarkan single baharu, insya-Allah. Jadi memang banyak perkara perlu diberi perhatian selepas ini,” ungkapnya.
Untuk rekod, Aisha merangkul naib juara AJL40 menerusi lagu Tak Adil, hasil nukilan dirinya bersama adiknya, Sayed Abu Hanifa Radityo atau Radi sebagai penulis lirik dan komposer yang melayakkan mereka menerima trofi serta RM50,000 – HIBGLAM
