TAMPAK perkara lumrah, hakikatnya nilai restu seorang ibu buat darah daging yang dikandung selama sembilan bulan terutama dalam melayari kehidupan sangat besar ertinya.
Cuma kadangkala perkataan ‘mahal’ itu hanya benar-benar dirasai selepas insan yang mengucapkannya pergi buat selama-lama.
Situasi itu turut didepani pelakon Johan As’ari, apabila bonda tercinta, Allahyarham Datin Firdaus Kader pergi lebih dulu ketika kerjaya seninya sedang mengukuh.
Menurutnya, wanita dihormatinya itu merupakan susuk utama yang membuka ruang untuknya mengambil watak Botak dalam drama Juvana sekitar 2011 iaitu kurang setahun bergelar pelakon sampingan.
Katanya, itu antara kenangan paling epik dalam perjalanan hidupnya sebagai seorang anak yang sedang mencari arah dan perlu memujuk ibunya sebelum diizinkan meninggalkan seketika pengajian demi menjalani penggambaran.
“Saya pujuk arwah ibu hampir seminggu untuk watak Botak itu. Sebab komitmennya 45 hari bekerja. Kalau watak ekstra, sehari sahaja.
Apabila lebih sebulan kena fokus, dengan komitmen pelajaran lagi kerana saya belajar di sebuah pusat pengajian tempatan, arwah ibu agak berat lepaskan.
“Mungkin tengok kesungguhan saya, akhirnya dia bagi restu dan tak sangka pula karakter Botak melonjakkan nama saya yang ketika itu masih terlalu hijau dalam arena seni,” katanya kepada HibGlam.

SELEPAS 11 tahun pemergian insan tersayang iaitu ibu, Allahyarham Datin Firdaus Kader terus membulatkan hati Johan lebih mendalami ilmu agama.
Ditemui di set penggambaran drama bersiri Kasih Yang Terkorban terbitan RadiusOne, Johan terdiam seketika, barangkali terkenang momen sebelum wanita tersayangnya itu dijemput Ilahi pada 30 Mei 2015.
Akui anak kedua daripada empat bersaudara itu, keputusan besar dipilih bersama restu ibu itulah yang mengubah hidupnya pada hari ini.
Sebelum mengenali dunia lakonan, saya sebenarnya lebih dekat dengan dunia agama. Selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya sendiri minta belajar di Sekolah Pondok Ash-Syuhada di Jambi, Indonesia.
“Saya mahu bersama masyarakat, jadi seorang hafiz yang dah hafal dua juzuk.
“Kemudian saya ambil pula jurusan kaunseling, memang saya sendiri pilih.
“Namun, takdir mengalihkan haluan hidupnya iaitu dari sekolah pondok, saya melanjutkan pengajian dalam bidang kaunseling di tanah air,” ungkapnya lagi.
Tak sengaja
Berbicara lanjut, pembabitan di arena seni pula asalnya secara tidak sengaja selepas dia menemani adiknya menjalani penggambaran drama Penunggu Gunung Raya sekitar awal 2011.
“Saya bermula sebagai pelakon tambahan. Watak saya waktu itu ada nama, lengkap dialog tetapi bukan watak besar. Asalnya watak ekstra itu ditawarkan kepada adik saya.
Saya pula kebetulan cuti semester. Jadi bolehlah saya temankan adik. Daripada teman adik, akhirnya saya pula yang jadi pelakon. Kakak saya pun asalnya berlakon,” katanya.
Daripada sekadar menumpang pengalaman di set, Johan ditemukan dengan pengarah Faizal Ishak yang melihat sesuatu dalam dirinya kerana tidak sampai setahun selepas itu, dia dipanggil untuk uji bakat drama Juvana.
“Syukur laluan saya agak mudah apabila diberikan watak Botak, karakter yang akhirnya menjadi fenomena dan mengangkat nama saya ke satu tahap tidak pernah dibayangkannya.
Rezeki, daripada watak ekstra terus dapat satu watak yang agak kuat. Tetapi bukan watak utama. Watak Botak yang menjadi batu loncatan untuk saya terus melangkah sebagai pelakon,” ulasnya.

PERNAH mencipta fenomena tersendiri menerusi watak Botak menerusi drama Juvana sekitar 2011, Johan terpaksa memperlahankan kerjaya seni disebabkan kehilangan ibu tersayang.
Kejutan budaya
Ironinya, ketika seluruh negara mula mengenali Johan, kehidupan peribadinya berubah begitu pantas daripada pemuda latar biasa dan pernah menuntut di sekolah pondok, tiba-tiba mempunyai peminat tegar.
“Culture shock (kejutan budaya) itu memang wujud. Tetapi saya dapat culture shock yang positif. Saya tak pernah terfikir atau termimpi sama sekali rezeki kita akan jadi begini.
Cuma populariti bukan sebab utama. Saya memang minat, seronok berlakon.
“Dapat duit untuk saya kongsikan dengan ibu, bapa dan adik-beradik,” ujar anak kepada bekas ahli politik itu.
Begitupun, dalam perjalanan mengatur langkah dengan satu persatu tawaran dipenuhi sehingga masa senggangnya terbatas, dia kehilangan ibunya.
Serangan barah
Sel barah yang menyerang insan kesayangannya itu meninggalkan satu ruang kosong yang tidak mudah diisi, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan arwah merupakan insan yang paling dipercayainya.
“Seminggu selepas ibu pergi, saya ambil keputusan ke India. Ini kerana saya rasa hilang sesuatu. Berbanding adik-beradik saya yang lain, emosi saya paling rapuh.
Bukan tak reda, cuma rasa tak puas bermanja. Nak berbakti lagi pada ibu. Namun Allah Maha Penyayang. Kesakitan ibu semua ditarik. Jadi saya ikut rombongan tabligh yang tidak saya kenali berhijrah dari satu tempat ke satu tempat untuk membantu umat Islam lain.
“Itu juga cara merawat perasaan. Saya sentiasa ingat pesanan ibu. Ibu sangat positif malah dia juga buatkan saya tidak menyesal bergelar pelakon,” ujarnya.
Selepas bertahun-tahun berada dalam industri, Johan menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian termasuk mendalami bidang agama.
Saya ada rancangan nak sambung belajar, dapatkan sijil yang diiktiraf. Kalau untuk jadi ustaz yang boleh mengajar, saya kena dapatkan tauliah pihak berkaitan. Perlu ambil lagi kursus tambahan.
“Cuma, tengok nanti macam mana. Semua ini sekadar perancangan jangka panjang. Sekarang saya masih aktif berlakon. Mana tahu suatu hari nanti saya nak mengajar mengaji pula,” tutupnya – HIBGLAM
