‘Saya rendah, rupa biasa-biasa dibandingkan pelakon berwajah Pan-Asia’

PELAKON Shaheizy Sam menggesa pengarah atau penerbit tempatan untuk memberikan ruang serta peluang kepada bakat-bakat baharu tanpa bersandar kepada rupa paras semata-mata.

Pemilik nama lengkap Shaheizy Sam Abdul Samad, 44, berkongsi pengalaman peribadinya sewaktu mula bertapak dalam industri yang ketika itu didominasi pelakon bertubuh tinggi dan berwajah kacukan.

“Bagi saya, kita kena beri peluang kepada pelakon-pelakon ini. Macam saya sendiri, saya kecil, tak tinggi (pendek) dan rupa pula biasa-biasa sahaja.

“Kalau nak dibandingkan dengan zaman saya nak naik dulu, pelakon semua kacak, berwajah Pan-Asian dan tinggi.

“Tetapi, kalau saya tidak diberikan peluang ketika itu, mungkin saya tidak akan berada di mana saya berada sekarang,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Dalam pada itu, pelakon filem Polis Evo itu turut menegaskan peluang yang diberikan perlulah disusuli dengan bimbingan yang betul sebagai persediaan termasuk mengupah jurulatih lakonan.

“Tetapi, jangan bagi peluang secara ‘buta-buta’. Kalau pengarah atau penerbit tidak yakin dengan kemampuan pelakon itu, mereka boleh mengupah jurulatih lakonan bagi memastikan pelakon itu dapat membawakan watak yang diberikan dengan sebaik mungkin.

“Semuanya terletak di tangan pengarah atau penerbit itu sendiri. Mereka perlu berani ambil tanggungjawab serta risiko untuk memberi peluang kepada pelakon-pelakon ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, pelakon Aniq Suhair mendedahkan sukar menyakinkan produser untuk menawarkannya berlakon dalam filem aksi kerana memiliki ‘wajah jambu’. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok