Penat diasak isu fizikal, Ariana Grande pilih hiatus

PENYANYI dan pelakon antarabangsa, Ariana Grande bakal mengundurkan diri daripada perhatian umum buat sementara waktu sejurus menamatkan jelajah Eternal Sunshine Tour pada 1 September depan susulan tekanan berterusan terhadap penampilan fizikal serta kesihatannya.

Menerusi kenyataan wakil Ariana atau nama sebenarnya Ariana Grande-Butera 33, dia memilih berehat daripada sebarang kemunculan awam demi memberi ruang kepada diri sendiri selepas berdepan penelitian tanpa henti sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

“Ariana akan mengambil sedikit masa untuk mengundurkan diri daripada perhatian umum selepas menamatkan jelajah Eternal Sunshine Tour.

Dia mahu menamatkan siri jelajah ini dalam keadaan sihat, gembira dan pada tahap terbaik sebelum menikmati rehat secukupnya daripada tugasan serta kemunculan di khalayak ramai, selepas sekian lama berdepan penelitian tanpa henti.

“Jelajah ini menjadi pengalaman cukup indah buatnya. Ariana sangat menyayangi peminat dan menikmati setiap detik sepanjang persembahan,” katanya.

Keputusan tersebut turut dibuat bagi menjaga tahap kesihatan Ariana memandangkan persembahan sepanjang jelajah itu menuntut komitmen fizikal sangat tinggi.

“Persembahan Ariana memerlukan kekuatan fizikal dan stamina luar biasa.

Walaupun begitu, dia berjaya memberikan persembahan pada tahap tertinggi setiap malam dalam keadaan sihat dan profesional,” ujar sumber berkenaan.

Susulan keputusan berehat, pelantun lagu Problem itu turut disahkan menarik diri daripada pementasan muzikal Sunday in the Park with George di West End London, sekali gus tidak lagi bergandingan dengan rakan lakonannya dalam filem Wicked, Jonathan Bailey.

Sejak kebelakangan ini, Ariana terus menjadi sasaran perbincangan ramai apabila perubahan bentuk tubuhnya mencetuskan pelbagai spekulasi, lebih-lebih lagi selepas pelancaran video muzik Petal pada penghujung Julai lalu.

Bagaimanapun, penyanyi pemenang Anugerah Grammy itu sebelum ini pernah menegur budaya menghakimi penampilan fizikal seseorang.

Sukar melindungi diri daripada segala komen itu, lebih-lebih lagi ketika masih muda dan terpaksa mendengar pelbagai tanggapan.

“Dalam masyarakat hari ini, ramai berasakan mereka berhak mengulas penampilan, kesihatan atau kehidupan seseorang sedangkan perkara itu langsung bukan urusan mereka,” katanya dalam satu temu bual terdahulu.

Selain itu, album terbaharu Ariana berjudul Petal juga meraih perhatian apabila ramai menyifatkan diskografi tersebut sebagai luahan terhadap hubungan rumit antara dirinya dengan perhatian umum serta budaya toksik dalam media sosial.

Selepas menamatkan jelajah di London, Ariana dijangka memberi sepenuh tumpuan kepada proses pemulihan diri sebelum kembali aktif dalam dunia seni.

Selain muzik, dia bakal muncul menerusi filem komedi Focker-in-Law bersama Ben Stiller dan Robert De Niro, dijadual menemui penonton pada November depan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok