‘Kalau melampau akan ambil tindakan, sekarang saya baik hati’

SUSULAN teguran secara terbuka mengenai foto dirinya dijadikan bahan jenaka, pelawak Zizan Razak mendedahkan ada pihak tampil memohon maaf.

Zizan atau nama lengkapnya Mohd Razizan Abdul Razak, 42, bagaimanapun berkata, dia bukan meluahkan kemarahan sebaliknya mahu mendidik sesetengah pihak agar tidak mengambil kesempatan demi kepentingan diri.

“Ada yang menghantar DM minta maaf dan menjelaskan keadaan. Saya baca sahaja mesej itu tapi untuk membalasnya, masih belum sempat. Baguslah, sekurang-kurangnya mereka meminta maaf.

“Bagi yang tidak minta maaf pula, saya tak tahu kenapa tetapi kalau sekadar untuk hiburan dan dibuat secara berpada-pada, saya tidak ada masalah. Kalau saya benar-benar marah, sudah lama saya bersuara.

“Sekiranya perkara itu boleh buat rakyat Malaysia tersenyum, tidak salah. Cuma, apabila ada yang mengambil kesempatan untuk kepentingan sendiri, bagi saya memang tidak manis,” katanya ketika ditemui pada sidang media dan pelancaran treler filem terbaharu lakonannya Terbang, semalam.

Sebagai penggiat seni, pelakon filem Polis Evo itu menegur tindakan sesetengah pihak yang menyunting fotonya menjadi bahan jenaka sehingga menyentuh sensitiviti agama.

“Apabila gambar saya mula diubah menjadi perempuan, saya rasa ada batasnya. Saya bekerja dalam bidang ini dan terbabit dengan televisyen (TV), jadi ada perkara yang perlu dijaga.

“Dulu saya pernah memakai pakaian perempuan, bukannya saya tak pernah buat tetapi apabila kita semakin meningkat usia dan lebih matang, kita juga diberitahu bahawa perbuatan menyerupai perempuan adalah haram.

“Saya rasa itu sudah cukup jelas. Ada juga yang mengubah gambar saya menjadi biarawati.

“Biarawati (The Nun) itu bukan agama kita. Jadi, saya rasa perkara itu tidak sesuai kerana sudah menyentuh soal agama Islam,” katanya lagi.

Pada masa sama, dia turut menyuarakan rasa kesal terhadap syarikat besar yang sewenang-wenangnya menggunakan wajahnya untuk tujuan pemasaran.

“Saya mula nampak peniaga-peniaga kecil menggunakan gambar saya. Saya bukan kata okey atau tak okey, tetapi saya masih boleh bertolak ansur.

“Namun apabila syarikat-syarikat besar pula mula menggunakan gambar saya, saya tak mahu nanti jadi macam kes Datuk M. Nasir yang sampai hantar surat saman dan sebagainya, itu bukan sesuatu yang sihat.

“Sebab itu saya rasa lebih baik saya keluarkan kenyataan. Bukan sebab marah, tetapi saya mahu bertegas dengan cara yang baik,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zizan masih memilih untuk bertolak ansur dengan tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang agar semua pihak belajar menghormati privasi orang lain.

“Kalau sudah melampau, baru saya akan ambil tindakan, sekarang saya baik hati. Sebenarnya, dari sudut undang-undang, sejak awal lagi saya sudah perasan ada beberapa jenama menggunakan gambar saya.   Kalau melampau, saya akan ambil tindakan – Zizan Razak

“Ada juga yang dibuat kawan-kawan sendiri. Sebagai kawan mereka boleh sahaja minta izin terlebih dahulu tetapi mereka terus sahaja muat naik gambar saya.

“Saya rasa agak biadab, tetapi saya cuba berdepan dengan senyuman. Cubalah kita saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Terdahulu, wajah Zizan menjadi bualan hangat dalam media sosial khususnya platform Threads apabila ramai menghasilkan ‘meme’ untuk dijadikan bahan jenaka tentang kehidupan seharian.

Namun, keseronokan tersebut mula terganggu apabila wujud pihak tidak bertanggungjawab menyunting wajahnya dengan memakai pakaian biarawati sekali gus mengundang kemarahan ramai.

Semalam, Zizan meminta orang ramai berpada-pada menyunting fotonya agar tidak berlebih-lebihan sehingga melanggar hukum agama. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok