PENYANYI Elica Paujin menegaskan tidak pernah berasa sedih apabila masih wujud segelintir pihak berterusan membandingkan dirinya dengan rakan seperjuanganyang yang lebih bersinar dalam dunia nyanyian.
Menurut Elica, 26, jadual kerjaya sentiasa padat terutama di Sabah namun kini bekerja keras untuk kembali merancakkan aktiviti seni di Semenanjung Malaysia.
“Sebenarnya banyak (komen netizen) yang prihatian tentang keberadaan saya dan memahami perkara tersebut.
Kita tidak boleh tutup mulut orang dan itu memang pandangan mereka. Emosi saya tak terjejas sangat sebab banyak kali nama diperkatakan dalam media sosial sebelum ini.
“Sekarang saya sedang bekerja keras untuk tebus kembali semua itu dan mahu mengembalikan Elica Paujin yang dahulu,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.
Tambah juara BigStage musim keempat itu yang kini menetap di Sabah, dia akan tetap memenuhi undangan nyanyian di Kuala Lumpur ketika ini.
Dia bahkan tidak pernah membelakangkang peminat di Kuala Lumpur yang menyokong kerjayanya sejak dulu.
“Saya selalu juga ulang-alik Sabah dan Kuala Lumpur, cuma sekarang rezeki Elica lebih kepada di sana tetapi tidak bermaksud saya membelakangkan rezeki di KL.
Di mana ada peluang kerja di sini, saya akan datang.
“Sebelum ini saya juga fokus sambung pengajian di Sabah dan sekarang semuanya sudah selesai. Sebab itu saya cakap sedang memperbetulkan semula keadaan,” jelasnya.
Dia bagaimanapun enggan orang ramai meletakkan harapan terlalu tinggi kepadanya selepas ini kerana bimbang kecewa sekiranya tidak mencapai tahap yang diharapkan.
“Jangan berharap terlalu tinggi, takut kalian kecewa sekali lagi.
Perkara paling saya perlukan sekarang ialah sokongan dan semangat daripada peminat untuk terus bergerak ke hadapan,” ujarnya yang bakal melancarkan single baharu tidak lama lagi.
Sebelum ini, nama Elica kerap menjadi sebutan ramai dalam media sosial apabila dikatakan kurang popular berbanding beberapa rakan penyanyi yang juga bekas peserta Big Stage 4 iaitu Aisha Retno, Yasmin Aziz dan Daniel Chuer. – HIBGLAM
