Eklektiko ‘alter ego’ Isyana Sarasvati

NAMA penyanyi dan komposer dari Indonesia, Isyana Sarasvati mungkin tidak segah rakan-rakan senegaranya di Malaysia.

Namun, itu tidak bermaksud Isyana tidak mempunyai peminatnya yang tersendiri di sini.

Antara lagu Isyana yang mendapat perhatian peminat muzik tempatan ialah Tetap Dalam Jiwa, Kau Adalah dan Untuk Hati Yang Terluka.

Jika dulu peminat lebih mengenali Isyana dengan lagu balada yang galau, namun kali ini dia hadir dengan konsep berbeza yang lebih ranggi.

Penampilannya juga sangat berbeza berbanding sewaktu awal kemunculannya. Kini imejnya lebih ke arah ‘gothic’ seiring dengan muzik yang dibawakannya kini.

“Dulu muzik saya lebih kepada balada pop dan R&B. Jadi imej dulu juga mengikut kesesuaian lagu.

Kini album dan muzik saya lebih keras, sebab itu juga penampilan saya lebih ranggi.

“Ada juga lagu-lagu saya yang memerlukan saya menari. Jadi penampilan saya harus berubah mengikut kesesuaian lagu ketika ini,” katanya.

Kehadiram Isyana ke Kuala Lumpur adalah bagi mempromosikan album kelima yang berjudul Eklektiko yang kini menjadi bualan peminat di seluruh Asia.

Album tersebut disifatkan peminatnya sebagai karya paling berani dalam karier Isyana.

ISYANA sepatutnya membuat konsert solo pertamanya di Kuala Lumpur pada 17 Julai ini, namun penganjur iaitu Redrose Entertainment dan Vault + Vision mengumumkan pembatalan 10 hari sebelum konsert berlangsung kerana jualan tiket kurang memuaskan.

Bercerita lanjut mengenai album, kata Isyana, Eklektiko mempunyai empat babak utama iaitu Lunora, Mamiu, Cecilia dan Abadhi yang mewakili setiap perasaan dan perjalanan dalam kehidupannya.

“Mungkin ramai orang beranggapan album ini agak ‘dark’. Tetapi sebenarnya tidak kerana ada variasi. Ada yang gelap, terang dan sederhana.

Album ini menggambarkan kehidupan saya. Saya mencipta muzik berdasarkan apa yang saya rasa dan alami. Saya terjemahkan ke dalam lagu.

“Hidup tidak mungkin seperti jalan lurus yang sentiasa bahagia. Kadang kala ada rasa sedih, rasa mencari, bingung dan terpuruk,” katanya.

Tambahnya lagi, konsep yang ditampilkan dalam album baharu ini juga Ibarat ‘alter ego’ buat dirinya.

Album ini adalah gambaran semua persona yang ada dalam diri saya,” katanya.

Tidak semua penyanyi yang mempunyai keberanian sepertinya untuk melakukan transformasi dan transisi dalam muzik terutamanya apabila peminat sudah sebati dengan genre pop balada yang sinonim dengannya.

Ditanya apa yang membuatkan dia berani untuk bereksperimen dengan muziknya, kata Isyana, sejak kecil dia meminati pelbagai genre muzik itu dan berasakan setiap genre adalah wadah untuk mengeskpresikan perasaan.

“Sejujurnya saya suka semua genre muzik. Daripada klasik, opera, rock, balada semuanya saya campurkan. Disebabkan itulah nama album ini Eklektiko.

Kalau dilihat semula album saya sejak daripada yang pertama, ibarat sebuah diari hidup saya. Setiap album adalah perjalanan hidup serta perkembangan hidup” jelasnya.

Jelasnya lagi, dia turut menjadikan kumpulan Evanescence sebagai rujukan memandangkan kumpulan itu merupakan antara idolanya dalam muzik.

Menariknya, album terbaru Isyana turut menampilkan sahabat baiknya Afgan. Mereka berdua berkolaborasi menerusi lagu bahasa Inggeris berjudul Something New.

Ditanya bagaimana penerimaan peminat dengan transisi muziknya serta album baharu, kata Isyana, dia bersyukur kerana peminat boleh menerima perubahan yang dilakukannya.

“Penerimaan peminat sangat menyenangkan. Sama seperti hidup, ada yang datang dan pergi. Tetapi ramai peminat saya yang setia.

Yang benar-benar mengikuti perjalan seni saya, mereka tidak sekadar mengidolakan saya, tetapi mendalami muzik dan lirik yang saya hasilkan.

“Ini membuat saya sangat gembira kerana mereka benar-benar setia dan ikhlas,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok