PELAKON Tracie Sinidol mengakui pernah berdepan insiden beberapa kali disindir kerana pertuturannya dalam bahasa Melayu masih ‘dihantui’ dialek Sabah.
Tidak mudah untuk membuang sepenuhnya ‘bunyi’ Sabah ketika berkomunikasi, Tracie, 25, berkata, dia mengambil masa sekitar dua hingga tiga tahun untuk membiasakan diri berlakon menggunakan bahasa Melayu tanpa dipengaruhi dialek tersebut.
“Ambil masa juga untuk saya buang dialek Sabah ketika berlakon. Masa awal-awal dulu memang ada juga terkeluar dialek itu.
Ramai orang sekeliling saya bantu untuk ubah. Kalau tiada apa-apa penggambaran, saya akan dengar lagu Melayu dan tonton banyak filem Melayu untuk praktis melancarkan cara intonasi.
“Masa awal dulu, saya akan ambil gambar dan hantar pada kawan setiap kali dapat skrip drama atau filem bagi memastikan setiap sebutan betul.
“Ambil masa dua hingga tiga tahun juga untuk saya betul-betul berlakon tanpa terkeluar dialek Sabah,” katanya ketika ditemui pada Meet & Greet Anugerah Melodi Terhangat 2026 baru-baru ini.
Beberapa kali berdepan situasi diperli kerana dialek negeri kelahirannya, Tracie bagaimanapun memilih untuk menjadikan perkara tersebut sebagai ruang memperbaiki mutu lakonannya.
“Paling penting, kita jangan malu. Biarlah orang cakap apa pun, kita perlu berani mencuba.
“Pernah disindir sebab dialek Sabah. Saya ambil positif perkara tersebut dan tambah baik lakonan sendiri. Paling penting, jangan malu walaupun sedar ramai menghakimi kelemahan kita.
Ada juga yang cakap saya lupa daratan apabila banyak guna bahasa Melayu. Nak buat macam mana, kalau cakap Sabah sepenuhnya, ada orang yang tak faham pula,” katanya lagi.
Berkongsi lanjut, Tracie mengakui cabaran tersebut turut berlaku ketika dia berkomunikasi dengan pihak media apabila sesekali perkataan atau frasa dalam dialek Sabah terkeluar secara spontan.
“Tentang bahasa itu, kadang-kadang kalau saya jawab media, keluar Sabah tetapi bila berlakon, tak ada pula keluar dialek Sabah.
“Kadang-kadang bila ada beberapa perkataan dan mahu ‘switch’, saya ada masalah juga. Tiba-tiba macam kaku sekejap.
Situasi itu akan buat saya ‘blur’ sekejap dan perkara tersebut mengundabg komen seperti ‘kau lupa daratan ke?’
“Selalu orang akan cakap macam itu. Jadi, ada beberapa perkataan yang saya akan tekankan betul-betul supaya orang faham,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia berterima kasih kepada beberapa pengarah yang banyak membantunya memperbaiki kelemahan diri, khususnya dari segi pertuturan.
“Pengarah dan semua banyak bantu juga seperti mengubah skrip dengan mencari perkataan atau ayat yang mudah untuk saya sebut.
Sebab kadang-kadang ada perkataan tertentu yang buat kita terfikir bagaimana mahu sebut dan semua itu hanya akan terkeluar terutama apabila rasa marah.
“Jadi, saya fikir pengarah memainkan peranan yang penting juga. Rakan gandingan pun banyak membantu,” ujarnya. – HIBGLAM

