“JANGAN disebabkan anda seorang, aku dan rakan-rakan lain bermasam muka.”
Demikian amaran pelakon, Sharnaaz Ahmad yang tidak mahu kenyataan seorang pelakon Indonesia dikenali sebagai Boy Hamzah mencetuskan permusuhan sehingga meretakkan persahabatan antara penggiat seni Malaysia dan negara jiran itu.
Aktor itu meluahkan kekesalan susulan pertelagahan sambil menggesa netizen Malaysia dan Indonesia menghentikan tindakan yang disifatkan tidak membawa sebarang manfaat.
Katanya, dia pada awal memilih enggan mengulas kontroversi berkenaan, namun situasi yang semakin melampau mendorongnya tampil menyuarakan pendirian.
“Macam ini, aku memang tak nak buat video pasal benda ini, tetapi aku rasa perkara ini sudah terlalu banyak.
“Pertama, aku ada tengok video pelakon Indonesia yang bercerita tentang sejarah kita. Dia mengajar kita pasal sejarah kita,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Biarpun menyifatkan tindakan pelakon terbabit sebagai pandangan individu, Sharnaaz enggan mana-mana pihak terus menuding jari sehingga persengketaan semakin meruncing.
Pelakon filem Blood Brothers: Bara Naga itu juga mengingatkan perbezaan pandangan tidak sepatutnya menjadi alasan untuk meruntuhkan hubungan yang sekian lama terjalin, khususnya bagi penggiat seni kedua-dua negara.
Dia turut menitipkan pesanan kepada pelakon Indonesia terbabit agar lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan berbaur provokasi.
“Jangan benda-benda macam ini merosakkan hubungan kami sebab industri Malaysia ini industri Nusantara, termasuk Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia. Apa salahnya?” katanya.
Bagi Sharnaaz, industri seni tidak seharusnya dibelenggu sentimen kebangsaan sehingga hubungan profesional serta persahabatan yang dibina merentas sempadan turut terheret dalam pertikaian.
Malah, dia melihat kerjasama antara kedua-dua negara sebagai peluang besar untuk mengembangkan industri seni serantau, selain membuka ruang kepada perkongsian budaya yang lebih luas.
“Cuba kalau Malaysia dengan Indonesia bergabung, lagi bagus, lagi enjoy. Kita boleh berbual dengan baik, berkongsi budaya bersama, daripada kita nak bergaduh macam ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, Sharnaaz menyeru pengguna media sosial agar tidak membiarkan emosi menguasai pertimbangan sehingga setiap kenyataan dibalas dengan kecaman, penghinaan atau provokasi.
Katanya, perbalahan berpanjangan hanya akan mengeruhkan keadaan, sedangkan rakyat Malaysia dan Indonesia mempunyai banyak persamaan yang boleh diraikan bersama.
Katanya, setiap negara mempunyai kelebihan serta kekurangan tersendiri, namun perbezaan itu perlu diterima tanpa menjadikannya sebab untuk mencetuskan permusuhan.
“Benda yang lepas kita bergerak ke hadapan. Masing-masing ada kebaikan dan keburukan. Nikmati ketidaksempurnaan tetapi jangan cabar, semua ada batas,” katanya.
Terdahulu, seorang aktor negara jiran didakwa mengulas isu boikot rakyat Malaysia terhadap jenama produk penjagaan diri untuk lelaki dari negara seberang itu.
Kenyataannya kemudian mencetuskan polemik apabila dia turut menyentuh sejarah dengan mendakwa Malaysia tidak akan wujud tanpa Indonesia.
Tetap mengaitkan dengan isu bola sepak, pelakon yang salah fakta mengenai sejarah Malaysia itu ‘disekolahkan’ netizen apabila tidak cakna bahawa pihak admin produk terbabit dahulu yang mengutuk negara ini.
Malah kemarahan rakyat Malaysia hakikatnya tercetus selepas ada dalam kalangan netizen Indonesia menyunting dan menyebarkan gambar Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah yang tidak sepatutnya selain menghina raja. – HIBGLAM

