‘Saya bangga asal-usul, tak wajar banding dengan Agnez Mo‘

RUPA paras dihina dan dibandingkan dengan artis Indonesia, Agnez Mo oleh netizen negara itu, penyanyi Stacy menyelar tindakan berkenaan dan menyifatkan perbandingan tersebut sebagai tidak wajar.

Ujar Stacy atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam, 36, setiap penyanyi mempunyai latar belakang serta perjalanan seni tersendiri, justeru perbandingan berdasarkan foto lama tanpa mengambil kira konteks kehidupan masing-masing dianggap tidak adil.

“Tidak wajar saya disamakan dengan Agnez Mo kerana saya berasal dari kampung di Borneo, Sabah, Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sedangkan Agnez berasal dari bandar di Indonesia dan sudah bergelar artis sejak kecil. Bandingkanlah kami dengan individu yang mempunyai latar belakang bersesuaian,” katanya dalam Threads.

Tambah pelantun lagu Jahat itu, dia tidak pernah berasa malu dengan penampilan lamanya, sebaliknya bersyukur dengan segala perubahan serta pengalaman hidup sehingga membentuk dirinya hari ini.

“Walaupun dahulu saya miskin dan berpenampilan kurang menarik, saya tetap bangga serta bersyukur kerana berasal dari Malaysia, bukan negara yang bijak membakar hutan sehingga memusnahkan alam dan habitat haiwan.

“Asapnya pula sampai ke negara lain! Malulah sedikit menjadi orang Indonesia.

“Tidak mengapa. Saya bangga dengan perubahan diri dan asal-usul sendiri. Mungkin saya buruk pada pandangan orang lain, tetapi cantik pada mata sendiri. Syukur, alhamdulillah,” luahnya.

Dalam masa sama, ibu dua anak itu turut mempersoalkan kewajaran perbandingan tersebut dengan memberikan contoh penyanyi Indonesia, Lesti Kejora dan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Cuba bandingkan wajah Lesti Kejora ketika awal kemunculannya dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza pada tahun sama. Begitulah perbandingannya.

“Allah yang menciptakan kita, tetapi manusia pula tidak tahu bersyukur dan sibuk memperlekehkan orang lain. Aduhai!,” tegasnya.

Rata-rata peminat tampil memberikan sokongan kepada isteri kepada penyanyi Akim Ahmad itu selain menyifatkan setiap individu berhak berbangga dengan perjalanan hidup serta perubahan diri tanpa perlu dibandingkan dengan orang lain.

Ada juga peminat berpendapat perbandingan rupa berdasarkan foto lama tidak sepatutnya dijadikan bahan untuk memperlekehkan seseorang, apatah lagi setiap artis mempunyai pengalaman dan perjalanan kerjaya berbeza.

Terdahulu, tular hantaran seorang pengguna media sosial dipercayai dari Indonesia apabila individu berkenaan membandingkan wajah Stacy dengan Agnez Mo.

Menerusi hantaran tersebut, individu terbabit turut memuat naik foto lama ketika awal kemunculan Stacy dalam industri muzik sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok