BERMULA sebagai pegawai perubatan kerajaan sebelum membina rangkaian klinik sendiri, kini Dr. Mohd. Hanafi Abdull Habir dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Estika Medispa Holdings Sdn. Bhd., sekali gus mencerminkan perjalanan kerjaya yang dibina berasaskan pengalaman dan prestasi.
Sebelum menyertai Estika Medispa, Dr. Hanafi berkhidmat dalam sektor kesihatan awam sebelum mengambil keputusan meninggalkan kerjaya tetap untuk menceburi bidang keusahawanan dengan menubuhkan serta mengurus beberapa klinik persendirian.
Pengalaman sebagai doktor dan usahawan itu menjadi antara faktor yang dibawanya apabila menyertai Estika Medispa sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO).
Dalam tempoh kira-kira setahun memegang jawatan tersebut, syarikat merekodkan peningkatan jualan hampir 100 peratus hasil penambahbaikan sistem operasi, pemerkasaan prosedur operasi standard (SOP) serta pengukuhan pengurusan organisasi.
Pencapaian itu sekali gus membuka laluan kepada pelantikan beliau sebagai CEO syarikat.
Saya tidak datang ke Estika Medispa untuk membina kerjaya. Saya datang kerana percaya kepada apa yang kami cuba bina bersama. Kepercayaan yang diberikan kepada saya hari ini adalah satu amanah yang akan saya galas sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu, pengasas Estika Medispa, Dr. Abdul Haq Ab Wasa berkata, pelantikan tersebut bukanlah penggantian kepimpinan, sebaliknya sebahagian daripada usaha memperkukuhkan hala tuju syarikat.
Beliau akan terus memainkan peranan sebagai Penasihat dan Pengarah Eksekutif Estika Medispa.
Dr. Hanafi bukan sahaja memahami strategi syarikat ini, malah memahami jiwanya. Sebab itu saya yakin menyerahkan amanah ini kepada beliau,” ujarnya.
Menurut beliau, Estika Medispa akan terus mengekalkan pendekatan berasaskan perspektif perubatan dengan memberi penekanan terhadap pematuhan SOP, aspek keselamatan serta keberkesanan setiap rawatan yang ditawarkan.
Di bawah kepimpinan baharu itu, syarikat turut merancang memperluaskan rangkaian cawangannya bagi membolehkan lebih ramai wanita mendapatkan akses kepada rawatan estetik yang selamat, berkesan dan mampu dimiliki.
Kejayaan kami bukan diukur melalui jumlah cawangan yang dibuka, tetapi sejauh mana pelanggan terus mempercayai kami. Itulah ukuran sebenar yang akan terus kami pegang,” kata Dr. Hanafi.
Dalam perkembangan sama, Estika Medispa turut mengumumkan pembukaan cawangan pertama Headspa Estika di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 27 Julai ini.
Konsep baharu yang dikhususkan untuk wanita itu menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk penggayaan rambut, rawatan rambut, rawatan kulit kepala serta rawatan masalah keguguran dan kebotakan.
Ditubuhkan pada 2015, Estika Medispa kini mengendalikan 37 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia dengan lebih 120,000 pelanggan. – HIBGLAM
