PENCARIAN juara Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) sudah pun berakhir dengan kemenangan berpihak ke tangan Anggrek bersama pengurusnya, penyanyi Adira.
Pertandingan TTMM2 juga ditutup indah dengan persembahan mengagumkan daripada bekas peserta TTMM2 dan barisan alumni TTMM1 termasuk Viviana, Amarra, Ammar Haikal dan Amad Dayyan.
Namun, bukan soal TTMM yang mahu diketengahkan, sebaliknya kemunculan Amad yang pada awalnya dapat melepaskan rindu peminat malang tetap dicemari kisah pertelingkahan terbuka antara bapa kandungnya, Saiful Anuar, dan pihak sebelah bekas isterinya yang juga penyanyi, Siti Sairah Tarudin.

SAIFUL mendakwa antara faktor mendorong keputusan Amad kembali ke pangkuannya adalah didorong rasa tidak tahan dikerah bekerja, namun tidak mendapat hasil setimpal.
Seperti dikongsikan ibunya sebelum ini, Amad atau nama penuhnya Ahmad Daiyan sudah berada bawah jagaan bapa kandungnya, Saiful Anuar di Kuantan, Pahang.
Difahamkan, keputusan tersebut dibuat Amad sendiri yang dikatakan mahu mengutamakan pelajaran.
Pada masa sama, anak saudara kepada Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza itu masih meneruskan karier nyanyian dengan syarikat rakaman World Peace Music.
Terdahulu, pertelingkahan antara ibu bapanya tercetus dalam media sosial, sehari selepas Amad beraksi di pentas akhir TTMM2
Tidak tahu pucuk pangkal, tiba-tiba Saiful Anuar memuat naik hantaran seolah-olah memberi bayangan tentang satu kepincangan.
Dedahnya, antara faktor mendorong keputusan Amad kembali ke pangkuannya adalah didorong rasa tidak tahan dikerah bekerja, namun tidak mendapat hasil setimpal.
Katanya lagi, sudah lama dia berdiam diri, namun tahap kesabarannya mempunyai batasan, sekali gus mendorongnya membuka mulut.
Selama ini aku diam sahaja. Kau nak makan hasil budak pun agak-agak lah, bukan anak kandung kau.
“Baik kau pulangkan apa hak dia sebelum aku rungkai hal-hal yang lagi besar. Ini baru sebahagian.
Ini sebahagian daripada sebab Amad balik ke pangkuan aku kerana dia dikerah tapi apa pun tak dapat.
“Aku bercakap sebab aku pertahankan kebajikan anak aku, dia anak kandung. Hanya aku tahu apa yang anak aku hadap selama ini, sabar ada batas,” tulisnya.
Pada masa sama, Saiful menuntut agar telefon pintar jenis Iphone16, wang royalti dan duit hutang Amad juga peserta TTMM1 itu dikembalikan.
Kasihan budak itu ke hulu ke hilir sponsor bayar RM5,000 tapi dapat RM1,500 sahaja,” dedahnya berserta tangkap layar mesej perbualan serta resit transaksi pembayaran.
Namun, menerusi semakan hantaran yang dimuat naik dalam Threads tersebut kemudiannya dipadam Saiful.

TIDAK berdiam diri, Siti Sairah menyifatkan tindakan Saiful sebagai satu bentuk provokasi kurang bijak.
Tidak lama kemudian, bekas isterinya yang juga penyanyi Siti Sairah memuat naik kenyataan balas yang membayangkan dirinya enggan melayan ‘drama’ berkenaan seraya menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk provokasi kurang bijak.
“Ada yang tengah meroyan? Nanti tulis karangan panjang-panjang tau.
Sebenarnya saya malas nak layan, sebab melayan orang kurang pandai dengan kita jadi tak pandai.
“Dalam karangan itu jangan lupa letak nama penuh sekali kalau nak tuju dekat sesiapa. Nak tanya, siapa yang artis?” selorohnya.
Tidak berhenti di situ, Saiful turut memuat naik hantaran balas seolah-olah hantarannya ditujukan bukan kepada Sairah tetapi dipercayai bapa tiri Amad iaitu Idan.
Menanti mention nama? Tak perlu mention orang dah tahu. Kalau anak jantan, mari hadap. Tak perlu menyalak pakai akaun orang,” katanya.
Tambahnya, dia tidak dapat berkomunikasi dengan baik dengan pihak tersebut kerana disekat.
Aku pun tak bodoh nak muat naik segala, tapi bila sekat cara apa nak bercakap. Keringat budak, aku malas nak cerita yang lepas. Kalau yang terkini pun kau boleh buat macam ini,” ujarnya.
Sehingga kini, masih tiada penyelesaian atau kenyataan rasmi terbaharu daripada kedua-dua belah pihak berhubung kemelut tersebut.
Ini bukanlah kali pertama isu keluarga popular itu tumpah ke media sosial memandangkan Saiful sebelum ini pernah mendakwa ada pihak cuba merenggangkan hubungannya dengan Amad.
Namun, sampai bila drama yang sama akan terus dihidangkan kepada tatapan umum?
Pertelingkahan terbuka dalam media sosial jelas sekali bukan jalan penyelesaian yang sihat. Sebaliknya, emosi dan mental Amad yang sedang membesar harus dijaga, memandangkan dia kini perlu membahagikan fokus yang tinggi terhadap pelajaran dan kerjaya seninya yang masih hijau.
Sebagai ibu bapa tidak kira darah daging sendiri mahupun tiri, sokongan yang padu harus diberikan kepada remaja itu agar masa depan karier dan mentalnya tidak rosak akibat hal tidak sewajarnya.
Bakat Amad tidak sepatutnya disia-siakan dengan polemik orang dewasa, bahkan sepatutnya tumpuan penuh diberikan kepada kebajikan serta perkembangannya. – HIBGLAM
