PERCERAIAN bukan sahaja menoktahkan hubungan suami isteri, malah sering mencetuskan kemelut baharu terutama berkaitan hak penjagaan anak.
Selebriti juga tidak terkecuali berdepan konflik berpanjangan mengenai isu penjagaan anak, jadual pertemuan sehinggalah perihal tanggungjawab serta peranan masing-masing selepas ikatan perkahwinan terlerai.
Kes-kes yang berlaku membuktikan bahawa isu hak penjagaan anak merupakan antara cabaran terbesar yang perlu dihadapi pasca perceraian.
Kali ini, HibGlam menyenaraikan beberapa selebriti yang terpaksa berjuang mencari titik persamaan demi memastikan kebajikan anak-anak terjaga dan mendapat kehidupan terbaik.
Ahmad Dhani, Maia Estianty

PERPISAHAN maestro muzik, Ahmad Dhani dan penyanyi Maia Estianty pada penghujung tahun 2000-an turut diwarnai dengan polemik hak penjagaan anak yang sangat hebat.
Selepas berpisah, Mia sukar bertemu tiga anak lelakinya, Al Ghazali, El Rumi dan Dul Jaelani yang dijaga Ahmad Dhani.
Seiring peredaran waktu, ketegangan keluarga itu semakin mereda dan kini hubungan mereka kelihatan jauh lebih harmoni.
Okan Kornelius, Viviane

PERCERAIAN model dan pelakon Okan Kornelius dan bekas isterinya, Viviane pernah menjadi perhatian ramai apabila mereka saling berbalas kenyataan dan memberikan pandangan berbeza mengenai corak asuha serta hak untuk bertemu zuriat mereka.
Pertelingkahan itu berlarutan agak lama dan melibatkan pelbagai proses mahkamah sebelum kedua-dua pihak berjaya menemui jalan penyelesaian dan berdamai.
Marshanda, Ben Kasyafani

PELAKON Marshanda dan Ben Kasyafani juga tidak terlepas berdepan kemelut hak penjagaan anak mereka selepas berpisah pada 2014.
Dalam beberapa sesi temu bual sebelum ini, Marshanda mengakui dia terpaksa berhempas-pulas demi mendapatkan ruang dan masa bersama anaknya.
Bagaimanapun, selepas melalui pelbagai fasa pasang surut, hubungan mereka berdua kini dilaporkan semakin pulih.
Marshanda dan Ben kini dijadikan contoh kerana berjaya membina komunikasi yang sihat dan matang demi kepentingan masa depan puteri mereka.
Atalarik Syach, Tasnia Marwa

KES perebutan hak penjagaan anak antara pelakon Atalarik Syach dan Tsania Marwa merupakan konflik yang paling lama dan sengit dalam sejarah hiburan negara seberang.
Selepas sah bercerai pada 2017, kedua-duanya terlibat dalam pertikaian berpanjangan mengenai hak penjagaan dan sekatan akses untuk bertemu anak.
Tsania, 35, beberapa kali mendedahkan kesukarannya untuk meluangkan masa bersama dua permata hatinya meskipun telah menempuh pelbagai saluran undang-undang.
Konflik tersebut pernah mencetuskan kekecohan apabila proses tuntutan pelaksanaan hak penjagaan tersebut terpaksa dilakukan secara besar-besar.
Ruben Onsu, Sarwendah

PERCERAIAN pengacara Ruben Onsu dan bekas ahli kumpulan Cherrybelle, Sarwendah antara kes paling mencuri tumpuan masyarakat.
Meskipun kedua-duanya cuba untuk mengekalkan hubungan baik demi masa depan anak-anak, namun isu berkaitan corak pengasuhan serta penglibatan pihak luar dalam kehidupan anak-anak mereka sempat menjadi bualan hangat.
Ruben atau nama lengkapnya Ruben Samuel Onsu secara terbuka meluahkan kebimbangannya mengenai kandungan media sosial melibatkan anak-anaknya.
Dia menegaskan bahawa dirinya tetap memikul tanggungjawab sebagai bapa kandung dan mahu memastikan pertumbuhan anak-anaknya berlangsung dalam persekitaran yang sihat. – HIBGLAM
