‘Keyakinan, pembawaan diri akan lebih menyerlah berbanding jenama mewah’

PELAKON Anzalna menegaskan keanggunan seseorang tidak terletak pada jenama mewah semata-mata, sebaliknya bergantung kepada cara pembawaan diri serta keyakinan dalaman.

Ujar Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md Nasir, 38, individu gemar mengenakan barangan berjenama lazimnya mampu membezakan antara asli dan tiruan, namun perkara tersebut bukan ukuran mutlak dalam menilai penampilan seseorang.

“Individu yang biasa memakai jenama mewah selalunya boleh membezakan barangan asli atau tiruan. Saya tidak menghakimi sesiapa, tetapi memakai yang asli memang ada rasa berbeza.

“Namun akhirnya, keanggunan bukan terletak pada label,” katanya dalam Threads.

Tambah pelakon drama Mamu Mami Gosip itu, keyakinan diri serta adab menjadi faktor utama membentuk imej seseorang, jauh mengatasi nilai sesuatu pakaian.

“Sayang, walaupun tidak memakai jenama mewah, kalau kita pakai dengan yakin, orang tetap akan nampak.

“Keyakinan, adab dan cara kita membawa diri akan sentiasa lebih menyerlah berbanding mana-mana jenama,” ujarnya.

Kenyataan tersebut pantas mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata bersetuju dengan pandangan ibu dua anak itu.

“Betul, boleh pakai jenama paling mahal di dunia, tapi tanpa adab dan hormat, semua itu tidak bermakna. Kelas sebenar terletak pada sikap, bukan label.

“Tepat sekali. Bukan soal nilai wang, tetapi bagaimana kita membawa diri. Ukur baju di badan sendiri.

“Setuju! Semuanya tentang aura dan keyakinan diri,” antara komen netizen.

Namun, terdapat juga segelintir pihak berbeza pendapat apabila beranggapan jenama tetap memainkan peranan dalam membentuk persepsi pertama seseorang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok