KEMELUT rumah tangga pempengaruh sensasi Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid dan Marissa Dania Hakim akhirnya menemui noktah apabila disahkan tidak lagi bergelar suami isteri oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Keputusan tersebut dibuat Hakim Syarie, Nadiah Khamis selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak dalam prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk.
Mewakili Aslam, peguam syarie Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri menjelaskan mahkamah mengesahkan lafaz talak sebelum ini adalah sah sekali gus membubarkan perkahwinan pasangan tersebut.
“Sebenarnya hari ini kita boleh katakan hakim memutuskan terjatuhnya talak.
“Hakim ada banyak keputusan dan terma, tetapi secara ringkasnya kedua-dua pihak bukan lagi suami isteri.
“Kalau mereka mahu bersama semula, mereka perlu melalui akad nikah baharu,” katanya kepada HibGlam.
Pada pagi prosiding, Aslam, 27, dan Marissa, 21, hadir secara berasingan ke mahkamah, sekali gus mencuri perhatian ramai. Riak wajah Marissa jelas menggambarkan kesedihan, namun dia memilih untuk tidak mengulas lanjut kepada media.
Dalam masa sama, Aslam mengakui mereka sudah tidak lagi tinggal sebumbung, manakala Marissa hanya memaklumkan dirinya berada dalam keadaan baik selepas keputusan tersebut.
Menurut Muhammad Ammar, pasangan terbabit dilihat menerima keputusan mahkamah dengan hati terbuka tanpa sebarang drama di dalam dewan perbicaraan.
“Mungkin mereka reda dengan keputusan hari ini. Sejak awal saya sudah pesan supaya bersedia berlapang dada.
“Apa pun keputusan mahkamah, keutamaan tetap pada kepatuhan undang-undang dan hukum syarak.
“Bila mereka patuh, maka mereka akan reda dengan apa yang diputuskan,” ujarnya selepas selesai prosiding keputusan lafaz cerai dan rujuk, di sini, hari ini.
Terdahulu, Aslam memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk pada 10 Mac lalu selepas melalui beberapa episod perpisahan dan rujuk sejak tahun 2024.
Untuk rekod, pasangan ini pernah melafazkan cerai dan rujuk sebanyak dua kali sebelum ini, termasuk pada September 2024 dan April tahun sama, sebelum kembali rujuk beberapa bulan kemudian.
Perkahwinan mereka sebelum ini turut mencetuskan kontroversi apabila dilaporkan bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023 ketika Aslam masih bergelar suami kepada pempengaruh Umisya Mazlan.
Situasi tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen apabila pernikahan didakwa berlangsung tanpa pengetahuan keluarga kedua-dua belah pihak. – HIBGLAM
