‘Saya faham putaran hidup’ – Fatiya akur bukan lagi pilihan utama

MEMAHAMI  roda industri hiburan sentiasa berputar, pelakon Fatiya Latiff  sedar diri malah tidak ‘sentap’ apabila dirinya kini tidak lagi menjadi pilihan utama untuk watak heroin.

Ujar Fatiya atau nama sebenarnya Nur Fathia Abdul Latiff, 38, pengalaman panjang dalam dunia seni membuatkan dia lebih matang menilai naik turun populariti tanpa rasa terkilan.

“Ada seorang penerbit tiba-tiba mesej kononnya mahu ambil saya berlakon. Rupanya hanya mahu beritahu saya sudah tidak akan dapat watak utama lagi.

“Saya tak sentap pun, saya faham putaran hidup sebagai pelakon macam mana.

“Bila kita sedang ‘top’, ramai penerbit, stesen TV atau pemilik produk mahu ambil kita. Tapi bila kita sudah tidak ‘panas’ — mereka tidak pandang pun,” katanya dalam Threads.

Tambah bintang drama Ariana Rose itu, situasi tersebut bukanlah sesuatu yang pelik malah akan dilalui hampir semua anak seni, cuma berbeza dari segi masa.

Perkara ini akan jadi kepada mana-mana artis, cepat atau lambat sahaja. Saya pula tidak terlalu mengejar tawaran sebab sedang fokus kepada perniagaan sendiri.

“Walaupun kecil, saya percaya perniagaan itu boleh berkembang lebih besar. Saya cuma harap doa dan sokongan semua untuk masa depan lebih baik,” ujarnya.

Luahan tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen, rata-rata memberikan kata-kata semangat serta pandangan mendalam tentang perjalanan hidup seorang selebriti.

“Setiap penolakan sebenarnya satu petunjuk daripada Allah. Mungkin hari ini kita dihalang daripada sesuatu, tetapi sebenarnya sedang diarahkan ke jalan lebih baik.

“Ada perkara kita sedih tidak dapat hari ini, namun suatu hari nanti kita akan bersyukur kerana itu tidak berlaku.

“Dalam industri hiburan, penampilan memang penting. Kena sentiasa kurus, cantik, aktif di media sosial, ada kandungan dan sentiasa ‘wujud’ di mata orang,” tulis beberapa netizen.

Bagaimanapun, terdapat juga segelintir pihak melontarkan pandangan berbeza, namun Fatiya dilihat kekal positif dan tidak melatah dengan sebarang kritikan selain terus fokus membina kehidupannya di luar radar populariti. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok