MUTAKHIR ini, wajah-wajah selebriti popular Hollywood menjadi bualan hangat netizen – daripada mereka yang berupa polos dan cantik kepada cengkung keterlaluan seperti orang sakit.
Namun, ada juga yang berubah menjadi semakin menawan dengan bantuan teknologi kecantikan dan pembedahan plastik. Paling ketara sudah tentu wajah ibu Kim Kardashian, Kris Jenner yang dilihat semakin muda.
Bahkan, Kris secara terbuka memberitahu pembedahan plastik dan penggunaan teknologi kecantikan seperti ‘facelift’ adalah cara terbaik menikmati proses penuaan.
Nicole Kidman

Aktres terkenal Hollywood Nicole Kidman mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen apabila dia tampil dengan wajah ‘baharu’ pada usia 58 tahun.
Pernah mengaku menggunakan botoks sebelum ini, Nicole bagaimanapun berhenti menggunakan rawatan tersebut kerana gembira dengan ‘rasa’ dan rupa wajahnya sekarang.
Meskipun dikhabarkan melakukan pembedahan plastik, Nicole mendakwa perubahan wajahnya berlaku secara semula jadi dengan menjaga kesihatan dan bersenam.
Jenna Ortega

Pelakon yang terkenal dengan watak Wednesday, Jenna Ortega mencetuskan kebimbangan ramai apabila wajah keanak-anakan yang dimiliki berubah cengkung seperti orang sakit.
Bahkan bertebaran khabar angin yang mendakwa aktres itu melakukan pembedahan membuang lemak di pipi untuk mendapatkan wajah yang lebih ‘tajam’.
Biarpun begitu, Jenna tidak pernah menjawab tentang khabar angin tentang dakwaan melakukan pembedahan plastik.
Lindsay Lohan

Pelakon terkenal Lindsay Lohan mengejutkan peminat apabila muncul dengan wajah baharunya sekitar 2024.
Kini pada usia 39 tahun, dia kelihatan lebih muda, malah Lindsay yang sebelum ini cukup dikenali dengan kesan jeragat diwajahnya berubah menjadi begitu anggun.
Perubahan drastik membuatkan netizen mencari siapakah doktor bedah plastik yang memberi wajah baru kepada Lindsay.
Tetapi menurut pelakon itu, transformasi penampilannya berlaku hasil rutin penjagaan kulit yang baharu, pemakanan lebih sihat serta beberapa prosedur kurang invasif seperti rawatan laser wajah dan juga botoks.
Lizzo

Transformasi penurunan berat badan penyanyi Lizzo yang drastik telah mencetuskan perhatian meluas. Penyanyi itu berjaya mengurangkan berat badan kira-kira 27 kilogram secara tidak langsung telah menurunkan 16 peratus lemak badan dan memperoleh bentuk tubuh yang menurutnya tidak pernah dilihat sejak 2014.
Meskipun mengaku pernah mencuba ubat kurus Ozempic, Lizzo menjelaskan perubahan tersebut dicapai menerusi senaman pilates, kardio, diet tinggi protein dan rendah karbohidrat serta rutin berjalan kaki.
Namun penurunan berat badannya menerima kecaman kerana dianggap mencemarkan jenama dirinya yang dikenali sebagai penyanyi berbadan gempal. – HIBGLAM
