1
LAPAN tahun bergelar ibu tunggal, penyanyi Ziana Zain mengakui tidak pernah terlintas untuk kembali berumah tangga, apatah lagi apabila mengenangkan keutamaan terhadap empat orang cahaya matanya.
Ujar Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 58, usia serta tanggungjawab sebagai ibu membuatkan dia lebih selesa memberi sepenuh perhatian kepada keluarga berbanding memikirkan soal cinta baharu.
Sejujurnya, saya tidak terfikir pun. Pada usia menghampiri 60 tahun ini, sejak bercerai dulu lagi memang tidak terlintas.
“Bila tengok mata anak-anak, saya tidak sampai hati. Takut mereka terasa, apatah lagi mereka sudah kehilangan satu sisi kasih sayang sebelum ini,” katanya menahan sebak.
Menurutnya, kebimbangan utama adalah soal emosi anak-anak sekiranya dia berkahwin semula, selain tidak mahu wujud jurang hubungan dengan figura bapa tiri.
“Saya takut jika berkahwin, tumpuan saya akan beralih. Anak-anak masih memerlukan kasih sayang lebih.
Kalau berkahwin, itu bukan bapa sebenar mereka. Saya risau tiada persefahaman dan anak-anak akan terasa hati,” ujarnya dalam audio siar yang dihoskan Erra Fazira dan suaminya, Ezwan Zain.
Tambah pelantun lagu Madah Berhelah itu, keutamaan hidupnya kini hanya tertumpu kepada kebahagiaan serta masa depan anak-anak.
Bagaimanapun, dia tidak menolak ketentuan takdir andai dikurniakan jodoh buat peneman hidupnya pada masa hadapan meskipun tidak terlalu memikirkan perihal tersebut.
“Keutamaan saya selepas Allah adalah anak-anak. Saya mahu hidup tenang bersama mereka, fikiran tenang, hati pun tenang.
Saya mahu lihat mereka berjaya. Itu sahaja fokus saya sekarang.
“Kalau esok lusa ada ketentuan lain, itu urusan Allah. Tetapi buat masa ini, saya cuba elak dan fokus pada apa saya rasa penting,” jelasnya.
Kakak kepada penyanyi Anuar Zain itu turut menyifatkan dirinya sebagai ‘kenderaan’ buat anak-anak menuju masa depan lebih baik, sekali gus menguatkan tekad untuk terus berdiri sendiri.
Saya ibarat kenderaan membawa anak-anak ke destinasi lebih baik.
“Itulah tugas saya sebagai ibu dan saya mahu laksanakan sebaik mungkin,” luahnya.
Untuk rekod, Ziana pernah mendirikan rumah tangga bersama bekas suami, Armin Zaharin pada 9 Mei 1998 sebelum bercerai pada Julai 2018.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 26, Muhammad Ammar, 22, serta pasangan kembar Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 17. – HIBGLAM
