5 ‘Cinderella’ Korea tambat hati jutawan

DALAM naskhah K-drama, kita sering disajikan plot percintaan antara gadis biasa dengan pewaris empayar perniagaan.

Siapa sangka, kisah dongeng tersebut bukan sekadar skrip di atas kertas sebaliknya menjadi realiti dalam kalangan selebriti Korea.

Fenomena artis Korea mengahwini pasangan daripada latar belakang kewangan yang sangat kukuh atau keluarga elit bukanlah sesuatu yang asing lagi.

Bagi bintang-bintang berkenaan, memiliki pasangan yang memahami selok-belok dunia perniagaan dan mempunyai kestabilan aset yang luar biasa memberikan satu dimensi baharu dalam kehidupan peribadi mereka.

Kali ini, HibGlam menyajikan lima bintang bertuah yang berjaya memenangi hati pewaris perniagaan sekali gus bergelar isteri jutawan.

Jun Ji-hyun

PADA 2012, aktres kegemaran ramai Jun Ji-hyun atau Gianna Jun melangsungkan perkahwinan dengan Choi Joon-hyuk yang dikenali sejak zaman sekolah rendah.

Suaminya dilahirkan dalam keluarga berprestij di mana neneknya, Lee Young-hee merupakan pereka hanbok (baju tradisional Korea) tersohor, manakala datuknya pula menerajui perniagaan keluli.

Selepas berkhidmat di Bank Of America, Joon-hyuk menyertai perniagaan keluarga dan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serta pemegang saham terbesar Alpha Asset pada 2020.

Menurut laporan antarabangsa, perniagaan mereka berkembang pesat dengan lonjakan hasil jualan sebanyak tujuh kali ganda mencecah 10.9 bilion won (RM38.5 juta) setahun selepas dia mengambil alih pimpinan.

Detik lamarannya juga persis K-drama apabila dia membawa Ji-hyun ke Jepun untuk kejutan sebelum menyuarakan hasrat hati.

Shin Joo-ah

SELEPAS membuat kemunculan pertama di televisyen pada 2004, Shin Joo-ah menarik perhatian media apabila berkahwin dengan jutawan generasi kedua berketurunan Cina-Thai pada 2014.

Pertemuan dengan suaminya, Sarawut Rachanakul, bermula menerusi perkenalan diatur rakan ketika dia sedang melancong.

Berikutan kejayaan perniagaan keluarga suaminya iaitu JBP International Paint, Joo-ah kini menetap di Thailand.

Dia sering berkongsi gaya hidup mewah serta kemegahan rumah agam milik keluarga mereka menerusi media sosial peribadi.

Han Chae-young

HAN Chae-young meraih puncak populariti menerusi drama Delightful Girl Chun-hyang pada 2005.

Dia kemudiannya berkahwin dengan usahawan Korea-Amerika, Choi Dong-joon yang berasal daripada keluarga pembiaya kewangan pada 2007.

Dong-joon dikenali umum sebagai Naib Presiden Medcare Korea dan CEO syarikat teknologi, HBK.

Pasangan berkenaan sebenarnya saling mengenali sejak 1998 di Amerika Syarikat, sebelum Chae-young memulakan kerjaya lakonannya.

Detik lamaran Dong-joon pernah menjadi tajuk utama berita apabila dia membelanjakan sekitar 7 bilion won (kira-kira RM25 juta) merangkumi sebentuk cincin berlian lima karat dan sebuah kereta ‘sport’ mewah.

Lee Si-young

LEE Si-young merupakan antara aktres paling berpengaruh dalam media sosial dengan jumlah pengikut melebihi 10 juta di TikTok.

Jika Si-young bijak memanfaatkan trend media sosial, bekas suaminya, Cho Seung-hyun juga mempunyai naluri perniagaan yang hebat sebagai pemilik francais restoran.

Seung-hyun membina empayar perniagaannya sejak usia 20-an dan mencatatkan hasil jualan tahunan sekitar 2.5 bilion won (kira-kira RM8.8 juta) pada tahun 2021.

Empayar perniagaannya termasuklah bar bumbung di Cheongdam-dong serta restoran barbeku Korea.

Soo-hyun (Claudia Kim)

SOO-HYUN atau lebih dikenali dengan nama Inggerisnya, Claudia Kim mula menempa nama di pentas Hollywood menerusi watak dalam filem Avengers: Age of Ultron dan Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald.

Dia pernah berkahwin dengan usahawan Korea-Amerika, Cha Min-geun (Matthew Shampine) yang merupakan bekas Pengurus Besar WeWork Korea.

Menurut laporan media, Min-geun menyertai WeWork sejak peringkat awal sehingga berjaya menerajui syarikat pemula tersebut di Korea.

Majlis resepsi mereka berlangsung di Hotel Shilla yang dikenali sebagai antara lokasi perkahwinan paling eksklusif dan termahal di negara tersebut.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok