PELAKON popular Zul Ariffin hairan apabila tindakannya melunaskan rutin harian seperti berenang untuk kesihatan membuatkan ramai dalam kalangan peminat tidak senang duduk.
Dalam perkongsian yang tular di Instagram (IG), Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 40, dilihat berdiri santai di birai kolam dengan tubuh sasa serta perut berotot, diiringi senyuman lebar yang memancarkan aura maskulin tersendiri.
Lucu juga bila saya sibuk dengan hal sendiri pun boleh mengganggu orang lain. Agaknya tak cukup benda lebih besar nak difikirkan,” katanya sinis menerusi Threads.
Terdahulu, Zul sekali lagi mencuri tumpuan apabila memuat naik foto dirinya tanpa baju ketika berendam dalam kolam, sekali gus ‘menghangatkan’ media sosial.
Seperti dijangka, ruangan komen dibanjiri pelbagai reaksi, terutama peminat wanita yang jelas teruja melihat penampilan aktor berkenaan.
“Ini bukan berenang, ini buat jantung berdegup laju.
Macam ini punya ‘view’, siapa saja tak terpikat?
“Abang Zul, ini terlalu bahaya untuk kesihatan kami,” tulis netizen berseloroh.
Lebih mencuri perhatian, segelintir peminat wanita dilihat cuba ‘memancing’ perhatian pelakon tersebut dengan meninggalkan salam perkenalan dan komen manja, seolah-olah mahu mencuri peluang mendekati.
Dalam masa sama, peminat lelaki pula tidak ketinggalan menjadikan perkongsian tersebut sebagai sumber motivasi untuk menjaga bentuk badan.
“Ini inspirasi sebenar, kena mula ‘workout’ balik.
“Disiplin macam ini memang lain macam.
Respect! Umur 40 tapi badan masih padu,” komen netizen.
Bukan sekadar fizikal menjadi bualan, pemilihan lagu Wish nyanyian Diplo sebagai latar muzik turut melengkapkan lagi aura macho pelakon filem Sheriff: Narko Integriti itu.
