DUA figura popular, Zahirah Macwilson dan Aiman Hakim Ridza sering menjadi perhatian peminat bukan sahaja kerana bakat lakonan, malah personaliti mereka yang dianggap mempunyai kelas tersendiri.
Meskipun dihimpit jadual kerjaya yang padat demi masa depan keluarga, Zahirah menegaskan dia tidak pernah meminggirkan tanggungjawab terhadap dua cahaya matanya, Isaac Raees dan Inara Raisa.
Katanya, komunikasi dua hala antara ibu bapa dan anak-anak adalah kunci utama dalam membina institusi kekeluargaan yang sihat.
Saya dan Aiman sentiasa cuba untuk ada bersama anak-anak kami. Cuba berkomunikasi dengan mereka walaupun sibuk macam mana sekalipun.
“Kita mesti kena ada masa dengan mereka sebab ini amanah kita. Itu adalah anak-anak — kita kena ambil tanggungjawab dan tahu bagaimana keadaan mereka.
“Sesetengah orang rasa macam ‘budak-budak bukannya tahu apa pun’ tapi mereka ada perasaan dan mampu meluahkan,” katanya kepada HibGlam.
Sebagai ibu bapa juga, pemilik nama lengkap Nur Zahirah Macwilson Zainol Macwilson itu memilih pendekatan untuk melayan anak-anaknya seperti orang dewasa bagi memupuk sifat matang dalam diri mereka sejak kecil.
“Saya rasa zaman sekarang dengan ibu bapa muda, lebih mudah untuk berkomunikasi.
“Bagi saya sentiasa cuba bertanya kepada anak-anak saya bagaimana keadaan mereka bercakap dengan mereka seperti orang dewasa.
Beritahu mereka apa yang betul atau salah. Kalau mereka nampak sesuatu dilakukan atau dalam media sosial, betulkan mereka dan bimbing mereka dengan cara yang betul kerana mereka perlu tahu.
“Dari usia awal, mereka perlu tahu apa yang betul dan bagaimana untuk melayan orang lain serta melindungi diri mereka sendiri,” jelasnya.
Dunia glamor
Menyentuh mengenai penglibatan anak-anak dalam dunia hiburan, Zahirah lebih selesa sekiranya Isaac dan Inara memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran.
“Keselamatan mereka diutamakan dan setakat ini, tiada masalah dari segi apa-apa yang terlalu glamor.
“Saya mahu mereka fokus pada sekolah dan pelajaran tetapi pada masa sama saya ada bekerjasama dengan mereka dalam beberapa jenama.
“Jadi, mereka agak biasa dengan industri tetapi untuk katakan mereka mahu terjun ke dalam bidang lakonan dan glamor mungkin belum lagi.
Mereka masih terlalu muda. Saya mahu mereka mempunyai hobi sendiri dan kalau kebetulan mereka berminat (dunia hiburan) mungkin boleh teroka,” jelas wanita berusia 31 tahun itu.
Dia juga tidak menyarankan anak-anaknya terlibat dalam dunia hiburan pada usia muda tetapi tidak menolak sekiranya mereka menunjukkan minat ke arah industri seni.
“Tapi buat masa ini, tiada ura-ura saya rasa Isaac belum berminat lagi dan Inara masih terlalu muda.
“Mereka tak ada menunjukkan minat ke arah mana-mana lagi. Isaac sangat sukakan kereta tetapi dia agak bersahaja di hadapan kamera.
“Dia seronok tapi saya rasa kalau nk masuk set mungkin agak memenatkan untuk dia dengan masa yang panjang,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Zahirah bakal muncul menerusi drama terbaharu terbitan Astro Shaw berjudul Good Boys Go To Heaven.
Berkongsi mengenai karya terbaharu Astro Shaw, Zahirah menerima tawaran memegang watak sebagai ibu kehilangan anak kerana menganggap berbeza dari karakter sebelum ini.
“Pertama sekali, skrip dan karakternya adalah satu watak yang sangat luar biasalah daripada apa yang pernah saya buat sebelum ini.
“Jadi, itu salah satu sebab kenapa saya ambil skrip ini tetapi saya rasa karakter itu dekat dengan saya sebagai seorang mak.
“Saya rasa ini adalah tanggungjawab saya untuk menyuarakan karakter ini dan mewakili ibu di luar sana,” ujarnya.

ZAHIRAH memegang watak Dahlia dalam drama Good Boys Go To Heaven.
Bercerita lanjut, pelakon filem Bulan Dan Pria Terhebat itu mendedahkan emosinya sangat terkesan memikirkan nasib ibu yang kehilangan anak secara tragis.
“Saya ingat ada satu babak yang saya buat selepas dapat jumpa (mayat Ahyan) dan mereka lakukan keseluruhan proses bedah siasat.
Saya keluar daripada set itu dan terus telefon anak saya. Saya dengar suara dia dan dia cakap ‘mommy, Isaac dah beli kasut roda’ — saya terus menangis teresak-esak.
“Tiada ibu yang mahu berada dalam posisi itu (kehilangan anak) dan saya bercakap dengan anak saya, saya sangat bersyukur saya tidak berada dalam posisi itu,” luahnya.
Ditanya sekiranya watak tersebut memberi kesan, Zahirah sering duduk bersama pengarah, Ariff Zulkarnain memastikan watak tersebut disampaikan dengan jujur.
Dia juga mengakui bukan mudah untuk menukar mood selepas habis menjalani penggambaran.
“Ya (terbawa-bawa emosi), Aiman boleh jadi saksi tetapi bukan senanglah untuk saya bawa watak ini.
“Kadang-kadang masa penggambaran itu rasa macam ‘adakah saya buat pilihan betul? Adakah saya dah buat sehabis baik? Adakah emosi dalam babak mencukupi?’
“Tapi saya selalu duduk dengan pengarah dan perincikan watak serta cuba untuk ‘switch off’ bila di rumah.
“Saya nampak Inara dan Isaac, saya ambil masa sikit untuk ‘switch off’ kemudian okey bila nampak mereka gelak-gelak,” tutupnya.
Zahirah memegang watak Dahlia iaitu seorang isteri kepada Yasser lakonan Beto Kusyairy dan ibu kepada Ahyan (Sayf Mikael).
Bintang lain yang turut terlibat dalam naskhah bergenre thriller tersebut ialah Firdaus Karim, Malek Mccrone, Amerul Affendi, Amanda Ang dan Sky Iskandar.
Drama arahan Ariff Zulkarnain tersebut ditayangkan bermula 8 Mei lalu setiap Jumaat di Astro Ria dan Astro Citra.
