SUSULAN dakwaan anak dibuli di sekolah, pelakon Ako Mustapha mendedahkan bahawa Pegawai Penyiasat (IO) memberi bayangan kes akan disiasat selama sebulan berikutan penglibatan ramai pihak.
Dalam masa sama, Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 55, turut memberitahu IO sedang giat mengumpul keterangan daripada pelbagai pihak bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian tersebut.
“Siasatan masih berjalan. IO memaklumkan kes akan mengambil masa kerana bukan sahaja kanak-kanak terlibat yang disiasat, malah ibu bapa, doktor dan guru besar turut dipanggil bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian,”katanya kepada HibGlam ketika ditemui di konsert minggu keempat Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), semalam.
Tambah pelakon filem Eva itu, anak lelakinya iaitu Mikael Iskandar akan mula menjalani rawatan pakar psikiatri bermula bulan ini.
Mika (nama panggilan Mikael) akan bertemu pakar psikiatri di HKL (Hospital Kuala Lumpur) untuk dua sesi, manakala satu lagi pertemuan adalah bersama pakar daripada Bukit Aman.
“Pertemuan dengan pakar Bukit Aman amat penting kerana mereka mempunyai kepakaran khusus untuk menyoal siasat kanak-kanak. Cara orang dewasa bertanya kadangkala boleh menakutkan lagi mereka,” jelasnya lagi.
Sebagai langkah keselamatan dan bagi memberikan sokongan moral, Mikael kini diletakkan di bawah pengawasan rapi Ako dan isteri pada setiap waktu, termasuk waktu tidur.
“Sebagai bapa, saya mahu dia rasa selamat. Disebabkan trauma ini, dia sering ketakutan.
“Malah setiap malam, dia akan tidur di atas katil bersama kami supaya dia rasa dipantau dan dilindungi,” katanya lagi.
Selain itu, Ako turut berkongsi fakta mengejutkan apabila pemeriksaan perubatan menemui kesan lebam pada badan anaknya yang tidak disedari mereka sebelum ini.
Sebelum ini, Ako mendedahkan bahawa anak lelakinya didakwa menjadi mangsa buli sejak setahun lalu di sekolahnya.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut. – HIBGLAM
