PELAKON Liyana Jasmay kecewa melihat lambakan komen negatif melibatkan mangsa sebuah kes pembunuhan seorang wanita, Allahyarham Nurfisya Zulkifly baru-baru ini termasuk dituduh mempermainkan perasaan golongan lelaki.
Menurut Liyana, 38, komen sebegitu tidak seharusnya wujud dan tidak layak untuk mengawal mana-mana anak perempuan orang lain.
“Sakit sungguh hati baca komen balas sesetengah lelaki berkaitan kes Nurfisya.
“Hendak beri peringatanlah, jangan mainkan hati lelaki, nanti lelaki boleh jadi gila dan jangan menempah maut?
Hello, awak siapa nak kawal-kawal anak perempuan orang? Bayangkan perkara tersebut berlaku terhadap perempuan dalam keluarga kalian, sanggupkah cakap begitu?” katanya dalam platform Threads hari ini.
Tambahnya, dia juga meminta setiap keluarga mendidik anak lelaki agar tidak melakukan sebarang tindakan kejam terhadap mana-mana wanita di luar sana.
“Berhenti bunuh wanita.
Mereka yang ada anak lelaki, tolong didik anak kalian, jangan biarkan mereka menjadi pembunuh,” ujarnya.
Sejak semalam, media sosial dihujani dengan pelbagai spekulasi mengenai kes seorang remaja perempuan, Nurfisya Zulkifly, 19, yang dipercayai dibunuh sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh kelmari dan dipercayai mati akibat ditikam sebanyak 61 kali.
Susulan itu, empat individu iaitu dua lelaki dan sepasang suami isteri warga emas direman bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid membenarkan dua lelaki berusia 19 tahun masing-masing menjalani tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Jumaat depan.
Seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun dan isterinya berusia 60 tahun pula diperintah menjalani tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Isnin.
Difahamkan, kedua-dua warga emas itu merupakan ibu bapa kepada salah seorang suspek lelaki yang ditahan. – HIBGLAM
