Salah diagnosis, payudara Lucy Liu ‘dibelah’

Bintang filem Charlie’s Angels, Lucy Liu mendedahkan pernah tersalah diagnosis sekitar tahun 1990-an dan menjalani pembedahan yang sebenarnya tidak diperlukan.

Katanya, dia panik selepas menemui benjolan pada bahagian payudaranya sebelum seorang doktor terus mengesahkan  dia menghidap kanser tanpa menjalani pemeriksaan lanjut menerusi imbasan ultrabunyi dan mamografi.

Saya tidak terlalu memikirkannya ketika itu, tetapi sudah tentu sangat menakutkan. Tambahan pula, ketika itu maklumat sangat terhad kerana belum ada internet,” katanya dalam wawancara bersama People.

Menurut pelakon berusia 57 tahun itu, dia sebenarnya pernah disarankan seorang rakan untuk mendapatkan pandangan kedua, namun memilih mempercayai diagnosis awal doktor terbabit.

Bagaimanapun, selepas prosedur dilakukan, barulah dia dimaklumkan bahawa benjolan itu bukan kanser sekali gus membuatkannya terkilan.

Pengalaman itu menjadi titik perubahan dalam dirinya untuk lebih memahami kepentingan menjaga kesihatan selain menggalakkan orang ramai menjalani pemeriksaan rutin tahunan.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok