‘Status terkini? Terlalu peribadi, belum boleh kongsi’

RUMAH tangga dengan suami, Adam Azriff dikatakan sekali lagi dilanda badai, penyanyi Kaka Azraff enggan mendedahkan status terkininya.

Menurut Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 37, dia tidak mahu terlalu bercerita perihal peribadi buat masa ini, namun pasti akan berterus-terang tentang status rumah tangganya satu hari nanti.

“Perkara ini terlalu peribadi untuk saya. Saya tak boleh dedahkan status saya ketika ini. Tetapi apabila semuanya sudah pasti nanti, saya akan kongsikan dengan media kerana kalian yang berada bersama saya sewaktu nak melangkah naik  dalam industri ini.

“Tak mungkin saya akan abaikan kalian,” katanya ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Suria FM, semalam.

Mutakhir ini, penyanyi yang juga anak saudara ratu rock, Ella Aminuddin itu dilihat sering berkongsi status seakan-akan luahan hati dalam Threads.

Antara yang dikongsikan adalah tentang berhadapan dengan individu narsistik.

Ditanya sama ada status-status tersebut ada kaitan dengan apa yang sedang dilaluinya, kata Kaka dia sekadar berkongsi masalah dialami orang sekelilingnya.

“Kawan-kawan saudara mara saya ramai yang sudah berkahwin dan beranak-pinak. Setiap daripada mereka ada kisah tersendiri.

“Saya pun baru sahaja lancarkan album baharu. Apa yang saya kongsikan dalam Threads sebenarnya ada kena mengena dengan lagu-lagu di dalam album saya.

“Jadi saya ingin menjadi suara kepada mereka yang melalui pelbagai dugaan dalam hidup. Saya nak bagi mereka kekuatan untuk menempuh dugaan. Doakanlah yang baik-baik untuk kami semua,” jelasnya.

Untuk rekod Kaka berkahwin dengan usahawan, Adam Azriff pada Disember 2018. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Aslan, 7, Aryan, 4, dan Atta, 10 bulan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok