Suku kedua 2025, selebriti Indonesia pun ramai cerai

TAHUN 2025 baru memasuki bulan kelima tetapi banyak perkara mencetuskan kejutan khalayak termasuk insiden membabitkan penggiat dunia hiburan Indonesia.

Paling mencuri perhatian isu perceraian beberapa selebriti yang sebelum ini dilihat sebagai pasangan romantik.

Malah, ramai peminat seakan tidak percaya selebriti kesayangan mereka itu sebenarnya bergelut kerana luaran tampak bahagia.

Sherina Munaf, Baskara Mahendra

PASANGAN pelakon Sherina Munaf dan Baskara Mahendra sah bercerai pada 13 Februari di Mahkamah Syariah Jakarta Selatan.

Menurut jurucakap mahkamah, pasangan itu bercerai disebabkan komitmen kerja yang terlalu padat sehingga tiada masa untuk berjumpa.

Malah, mereka juga bercerai secara ingkar memandangkan Baskara selaku defendan tidak hadir ke mahkamah syariah dua kali berturut-turut.

Baim Wong, Paula Verhoeven

KEMELUT rumah tangga pasangan pelakon popular Baim Wong dan Paula Verhoeven akhirnya bernokhtah apabila mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Pengadilan Agama Jakarta Selatan pada 16 April lalu.

Dalam masa sama, Baim berjaya membuktikan wujud orang ketiga antara mereka dengan mendakwa Paula curang di belakangnya

Menurut Hakim Pengadilan Agama Jakarta Selatan iaitu Suryana, perceraian tersebut berlaku selepas Paula terbukti nusyuz, tidak menjaga kehormatan diri dan mengkhianati hubungan suami isteri.

Pihak mahkamah mengisytiharkan Paula sebagai isteri nusyuz selain permohonannya untuk menuntut nafkah idah dan madiah (nafkah lampau) ditolak.

Mahkamah menetapkan hak penjagaan dua anak lelaki pasangan tersebut diberikan secara sama rata iaitu dua minggu dengan Baim dan dua minggu berikutnya bersama Paula.

Asri Welas


MESKIPUN sudah mendirikan rumah tangga selama 17 tahun, pelakon Asri Welas dan suaminya Galiech Ridha Rahardja gagal mempertahankan perkahwinan apabila sah bercerai pada 23 Januari lalu.

Sebelum ini, pemilik nama sebenar Asri Pramawati, 46, itu memfailkan tuntutan cerai pada 5 November 2024 dan jurucakap Mahkamah Syariah Depok iaitu Samsudin mendedahkan beberapa tuntutan dikemukakan ibu kepada tiga cahaya mata itu.

“Dalam tuntutan tersebut, terdapat empat perkara utama. Pertama adalah permohonan untuk bercerai.

“Kedua, permohonan hak penjagaan anak, ketiga adalah pembahagian harta sepencarian dan terakhir soal nafkah anak,” katanya.

Heri Horeh, Riyuka Bunga

PEMPENGARUH media sosial, Riyuka Bunga memfailkan cerai terhadap suaminya, Heri Horeh juga seorang pelakon di Mahkamah Syariah Depok pada 10 Januari lalu.

Dia mendedahkan sudah tidak lagi sebumbung dengan lelaki berkenaan sejak tujuh bulan lalu selepas timbul dakwaan perselingkuhan.

Meskipun dalam proses berpisah, hubungan mereka masih baik dan sering berkomunikasi antara satu sama lain.

Pada 12 April lalu, pasangan itu sah bercerai dan Riyuka dilihat mengalirkan air mata kerana lega tidak lagi menghabiskan wang dan tenaga untuk melalui proses tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok