PELAKON Eyka Farhana dan pemain bola sepak, Akhyar Rashid selamat diijabkabulkan dalam satu majlis yang berlangsung di Boat House, Ampang, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Eyka yang anggun dalam persalinan rona putih dinikahkan bapanya, Wan Sarmizi dan menerima mas kahwin sebanyak RM3,200 daripada Akhyar.
Menerusi hantaran yang dikongsikan pelakon dan pengarah, Tam Suhaimj dalam Instagram, dia memuat naik foto papan tanda yang tertera nama Eyka dan Akhyar beserta tarikh hari ini.
Foto sekitar majlis tersebut juga turut dikongsikan oleh teman-temannya Eyka dalam akaun media sosial masing-masing.
Sebelum ini Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Wan Sarmizi, 30, pernah berkongsi akan melangsungkan perkahwinan dalam waktu terdekat dan segala persiapan menuju hari bahagianya sudah hampir siap.
Pelakon filem Anak Perjanjian Syaitan 2 itu turut mendedahkan dia hanya menjemput keluarga kedua-dua pihak serta sahabat terdekat untuk sama-sama meraikan hari bahagianya.
Eyka juga sempat berkongsi pereka fesyen Teh Firdau akan menyiapkan busana majlis akad nikahnya.
Terdahulu Eyka dan Akhyar telah mengikat tali pertunangan pada 4 Ogos 2023 namun hanya mengumumkan berita baik itu pada November tahun lalu. – HIBGLAM