SYUKUR tidak terhingga, ibu kepada pelawak dan pelakon Along Cham, Siti Habsah Kadir gagal menahan sebak apabila dapat menyambut Syawal bersama anak sulungnya itu tahun ini.
Siti, 64, berkata, tahun lalu dia tidak sempat menyediakan juadah kegemaran Along akibat terputus hubungan selama hampir setahun.
Bersyukur sangat-sangat sebab dapat anak saya kembali. Macam-macam dia ‘request’. Laksa Johor, rendang, apa sahaja dia minta saya buatkan sahaja. Tak pernah nak kecewakan dia.
“Tapi tahun lepas bila tak dapat masak untuk dia, rasa sedih juga,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Majistret Sepang, hari ini.
Paling penting kata Siti, dia tidak pernah berhenti mendoakan kesejahteraan Along meskipun hubungan mereka renggang sebelum ini.
Ibu mana yang tak doakan untuk anak dia. Baik buruk dia tetap anak kita dan sentiasa mendoakannya.
“Walau tak pernah jumpa hampir setahun, saya tetap mendoakan dia. Kemaafan tetap saya berikan,” ujarnya.
Sementara itu, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, juga bersyukur dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga tahun ini.
Alhamdulillah, makin tembam sebab mak saya masak sedap-sedap. Bahagia raya ini, cuma kena turun naik mahkamah jelah. Itu sahaja beza Syawal kali ini.
“Kalau nampak lebih terurus tu sebab mak saya facial setiap hari (seloroh). Tak ada lah, mak saya masak sedap. ‘Request’ apa sahaja, dapat,” katanya.
Terdahulu, Siti pernah mendedahkan dia tidak bertegur sapa dengan Along sejak anaknya itu berkahwin semula tahun lalu.
Dia mendakwa wujud salah faham dalam keluarga susulan kenyataan dikeluarkan menantunya, Afreena Suhaimi. – HIBGLAM