TERLALU lama rasanya tidak melihat kelibat Zulin Aziz menghiasi naskhah televisyen. Jarang benar gelak tawanya mengilai dalam drama mahupun babak mencuit hati di layar perak.
Namun apa yang pasti, Zulin tidak akan menyepi tanpa sebab munasabah kerana dia bukanlah selebriti yang hanya duduk menunggu durian runtuh.
Siapa sangka, dalam diam, dia rancak menyusun langkah dalam dunia perniagaan, sambil terus menyentuh hati peminat dengan konten media sosial yang penuh jenaka dan santun.
Terbaharu, Zulin mengejutkan ramai apabila tampil menjual gelang manik hasil tangan sendiri. Bermula sekadar suka-suka, kini hobi itu berubah menjadi perniagaan penuh permintaan.
Ramadan kali ini saya tidak ambil tawaran drama. Sekadar penuhi jemputan program seni.
“Sejak saya mula jual gelang buatan tangan sendiri, sambutannya luar biasa. Muat naik dalam media sosial, dalam seminit sudah habis terjual. Mungkin sebab saya jual dengan harga rendah,” katanya kepada HibGlam.
Apa yang bermula sebagai percubaan kecil, kini menuntut komitmen luar biasa malah dalam sehari, pemilik nama sebenar Farah Azleenda Abd. Aziz itu mampu menghabiskan sehingga 19 jam demi memenuhi tempahan gelang pelanggan.
Saya akan tidur pada pukul 3 pagi. Sebab itulah saya memasak hanya kadang-kadang. Suami pun sibuk berniaga, jadi kami saling memahami.
“Ibaratnya, dapur saya ‘tutup’ sepanjang Ramadan lalu. Namun, saya rancang untuk jual gelang manik ini sepanjang bulan suci itu sahaja. Jika tidak, bagaimana dengan suami saya pula, tapi kita tengok nanti macam mana,” ujarnya.
Mengakui pernah menerima tawaran menjayakan beberapa drama, pelakon filem Polis Evo 3 itu berkata, keutamaannya kini berubah.
Tak mahu hanyut
Dia tidak lagi mahu hanyut dalam dunia seni tanpa batas masa, apatah lagi jika naskhah tersebut memerlukan komitmen panjang.
“Kalau boleh, saya elak drama yang penggambarannya panjang. Saya ada komitmen lain.
Saya perlu susun jadual. Baru-baru ini, saya jayakan drama bersiri Apartment Putra, tapi itu pun saya pilih kerana jadualnya fleksibel,” jelasnya.
Setelah bergelar isteri kepada Farhan Norzaini pada 20 Februari 2022, dunia Zulin tidak lagi sama. Fokusnya kini lebih tertumpu kepada rumah tangga, selain perniagaan yang sedang berkembang.
“Saya tidaklah giat macam zaman muda-muda dahulu. Saya sudah berkeluarga dan mengusahakan perniagaan kosmetik.
“Jadi, saya pilih masa dan kalau penggambaran, saya tengok lokasi yang sesuai,” kongsinya.
Bakal kembali menghiburkan peminat menerusi Temasya Komedi Rakyat, Zulin bersama beberapa pelawak terkenal bakal menjelajah ke empat lokasi termasuk Pahang, Perak, Johor dan Singapura bermula Mei ini.