‘Bersatu kembali’ – Penyampai 3 pagi Era sebak masuk konti

TEMPOH ‘hukuman’ berakhir, tiga penyampai radio Era iaitu Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin dilihat sebak apabila kembali ke konti awal pagi tadi bagi mengendalikan segmen 3 Pagi Era.

Dalam beberapa perkongsian Instagram dimuat naik Era FM, ketiga-tiga penyampai berkenaan tiba seawal 6 pagi sebelum saling berpelukan ketika dipertemukan kembali.

“Alhamdulillah tiga sahabat bersatu kembali. Selepas lama tidak ke udara bersama, akhirnya hari ini paling bersejarah,” katanya.

Menerusi hantaran berbeza, penyampai 3 Pagi Era turut menunaikan solat Subuh secara berjemaah diimamkan oleh Nabil yang menjadi rutin mereka sebelum ini.

Kemunculan semula mereka turut membuatkan ramai pendengar setia segmen 3 Pagi Era menzahirkan rasa teruja dan sebak.

Azad dilihat tidak dapat menahan sebak ketika seorang pendengar yang dikenali sebagai Omar menghubungi mereka melahirkan rasa gembira melihat tiga penyampai radio itu bersatu kembali selepas dihambat kontroversi sebelum ini.

Terdahulu, kekosongan penyampai segmen 3 Pagi Era diisi Munabella, Namie, Sharifah Shahirah dan Haziq Husni.

Tiga penyampai radio segmen berkenaan terpalit kontroversi berkaitan sebuah video tular memaparkan salah seorang daripada mereka menari yang dianggap mempersendakan upacara agama lain.

Meski dihambat kecaman, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa lesen penyiaran Maestra Broadcast Sdn. Bhd., pengendali stesen radio Era FM tidak digantung.

Walau bagaimanapun, Maestra Broadcast Sdn. Bhd. dikenakan kompaun sebanyak RM250,000 bagi kesalahan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari 2025), iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok