MEREKA bertiga masih direhatkan.”
Demikian kata Ketua Strategi Astro Radio, Rizal Sahimy apabila disoal tentang status tiga penyampai radio 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin.
Menurutnya, ketiga-tiga penyampai itu direhatkan daripada bersiaran sehingga siasatan dalaman selesai.
Siasatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sudah pun selesai, lesen tidak digantung dan dikenakan kompaun sebanyak RM250,000.
“Namun, kami masih lagi melakukan siasatan dalaman secara terperinci dari segala sudut bagi memastikan kesilapan sama tidak berulang
“Buat masa ini, mereka masih lagi direhatkan bagi meredakan tekanan memandangkan isu sangat sensitif dan masih panas,” katanya yang ditemui pada majlis Iftar @ Masjid Zayan FM dan Era FM di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, semalam.
Kata Rizal lagi, pihaknya juga sedang menyusun atur strategi bagi memulihkan kembali imej stesen radio yang tercalar.
Tiada prosedur operasi standard (SOP) baharu diperkenalkan, tetapi pemantauan lebih ketat akan dilaksanakan bagi mengelak daripada berlakunya kecuaian.
Dalam pada itu, Rizal menegaskan keputusan untuk merehatkan ketiga-tiga penyampai buat masa ini adalah yang terbaik.
Ketiga-tiga penyampai pun sudah menyesali perbuatan dan mohon maaf secara terbuka, jadi sudah tentu sedikit sebanyak memberi tekanan dan menganggu minda mereka.
“Bagi menjaga kesihatan mental dan tidak mahu kerja terganggu, biarlah mereka berehat dahulu. Biarlah mereka kembali bekerja dalam keadaan sudah bersedia,” katanya.

RADIN, Nabil dan Azad merakamkan gambar kenangan bersama Anwar di Majlis Iftar @ Masjid Zayan FM dan Era FM di Masjid Raja Haji Fi Sabililla yang berlangsung semalam.
Rizal berkata, video tular yang mencetuskan kekecohan juga sudah dipadam bagi menjaga sensitiviti dan mengelak isu menjadi lebih panas.
Semalam, dalam satu kenyataan media Maestra Broadcast Network System Sdn. Bhd. mengesahkan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak menggantung lesen penyiaran radio di bawah Maestra merangkumi Era, Mix dan Melody FM.
Maestra bagaimanapun dikenakan kompaun sebanyak RM250,000.
Terdahulu, MCMC telah diarahkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung video tular tiga penyampai radio Era FM yang dilihat mempersendakan agama lain.
Dalam video yang sudah diturunkan dari platform media sosial stesen terbabit memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa rakan-rakan yang lain.
Klip video tersebut mengundang kritikan ramai kerana secara terang-terangan mempersendakan tradisi penganut agama lain. – HIBGLAM